8.3.11

Skrip Hos Malam Pengucapan Puisi Lingkaran Hidup

Segmen Pertama - Anak
Kehidupan adalah lingkaran. Pasti akan bertemu titik pertemuan apabila sampai ketikanya. Alam hidup manusia bermula dari titisan-titisan air, ditiupkan roh menjadi seketul daging. Sembilan bulan dalam kegelapan. Berkongsi rasa berkongsi udara. ( mula masuk nazam.)
Dalam segmen pertama ini, sajak karya Sabar Bohari, “Bayi” akan dihantar oleh ___________________ ke pentas untuk kita sama merasai sucinya makna seorang bayi. Ibarat kain putih, tiada kusam tiada noda. Harapnya bayi kekal bersih sehingga ke hujung usia.
Melalui sajak kedua iaitu “Tidurlah Anak” hasil karya Muhammad Hj. Salleh, ______________________ ingin menyampaikan pesan. Katanya, malam dan siang adalah pasangan saling melengkapi. Siang tidak lengkap tanpa malam. Kepada malam, usah dicemburui siang. Kalian akan bertemu jua akhirnya.
Sajak Usman Awang, “Hadiah” akan disampaikan oleh________________________.Walau cuma sekerat pensel, namun hadiah itu tetap berbekas di benak anak. Senapang bukanlah jalan mencari kedamaian. Di tangan ibu dan bapa, senapang dan pensel sekerat menjadi pilihan. Pilihlah yang terbaik.

Segmen Kedua – Remaja Dewasa
Ketuaan bukanlah sesuatu yang harus digeruni. Keretaan haruslah diraikan dengan cara yang sewajarnya. Fitrah alam tak usah dilawan. Muda sudah pasti akan tua.
Dalam sajak Budak Tua karya Abdul Ghaffar Ibrahim, _______________________________melontarkan persoalan tentang ketakutan manusia berdepan dengan cabaran yang menanti di setiap persimpangan hidupnya. Dalam diri seorang manusia dewasa, ada tersembunyi budak tuanya. Hadapi kebenaran hidup tanpa perlu gusarkan apa-apa.
Seterusnya, __________________________akan menyampaikan sajak “Harga Remaja” hasil nukilan Rahman Shaari. Katanya harga remaja amat mahal dan tidak dijual di mana-mana. Katanya lagi, kesusutan nilai remaja akan terjadi andai tiada ilmu di dada.
Untuk mengakhiri segmen kedua ini _______________dengan karya T. Alias Taib, “Semakin Tua meluahkan pemikiran bahawa setiap kemudaan ada ketuaannya. Katanya lagi, cermin diri semakin retak apabila tiada pertimbangan antara dosa dan pahala. Ketuaan adalah pasti. Tidak tertangguh-tangguh atau terhenti-henti.
  
Segmen Ketiga – Tua Mati.
Semakin hari semakin hampir pada kematian. Ada janji pada ketuaan. Janjinya adalah kematian. Tak perlu ditakutkan pada kematian.
Karya A. Samad Said, “Kita Ini tetamu Senja yang disampaikan oleh ______________ akan cuba menghamburkan pemikiran bahawa hidup di dunia ini hanyalah sebentar cuma. Bila cukup detik, kembalilah kita menghadap pencipta. Percayalah…kematian hanyalah permulaan untuk sebuah perbicaraan yang panjang.
Kematian oh kematian. Bau kematian ada di mana-mana. Bersembunyi di sebalik diri masing-masing. Dalam sajak “Tanah Ini Akan Mencintai Aku”, karya Latiff Mohidin, ____________________akan memerikan kematian dari sudut pandangan roh. Negeri kematian bukanlah tempat asing. Kita semua pasti akan sampai. Bagaimana caranya? Bila sampainya? Entah…!

PANDUAN AM
1.       Penyampaian bergantung kepada gaya masing-masing.
2.       Penyampaian haruslah “stylish” ataupun gaya yang agak melankolik.
3.       Perlu ada permainan emosi melalui intonasi dan mimik muka.
4.       Penyampaian berdasarkan prinsip “bercakap dengan khalayak”
5.       Hos juga perlu menekuni sajak supaya pemahaman lebih jelas.
6.       Hos boleh membuat “ad lib” (penambahan) pada mana-mana bahagian.
7.       Latihan haruslah keras dan berterusan.
8.       Istiqamah dengan gaya penyampaian sendiri.
9.       Suara perlu dilantunkan semaksima mungkin.
10.   Hos adalah sebahagian daripada pementasan dan tidak terasing dalam ruangnya tersendiri.
11.   Sebutan menggunakan dialek “Melayu Baku” bukannya “Melayu Riau” untuk memberikan kesan teaterikal dalam penyampaian.
12.   Andai faham 11 panduan di atas, gerakkan minda. Keluarkan singa dari dalam diri. Bermainlah dengan bunyi-bunyi dan gerak-gerak. Puaskan diri di pentas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan