8.11.10

Filem Pemberi Inspirasi



Saya ingin mencadangkan dua filem Inggeris yang boleh kita tonton untuk mengambil sedikit inspirasi tentang hal-hal pengucapan awam. Filem pertama  ialah filem "Maid in Manhattan" lakonan J-Lo. Filem ini mengisahkan kehidupan seorang ibu tunggal iaitu Marisa Ventura (Jennifer Lopez) yang bekerja di hotel, melayani anaknya yang pertama kali berucap di sekolah dan ditertawakan oleh rakan-rakannya. Ada sesuatu yang boleh kita belajar di sini.



Filem kedua ialah filem The Great Debater lakonan Denzel Washington. Ia adalah berdasarkan kisah sebenar  pada tahun 1935, pendebat negro dari Kolej Wiley yang mendapat undangan dari Universiti Harvard. Penghayatan terhadap filem ini akan menemukan kita pada sesuatu yang berguna yang dapat membantu kita dalam seni berdebat.

Andai berkesempatan, carilah kedua-dua filem ini. VCD kedua-dua filem yang sebelum ini ada dalam simpanan saya telah hilang entah ke mana. Mungkin kita boleh cari di pasar-pasar malam. Carilah yang cetak rompak  asli.

20.10.10

Pengacaraan Majlis (Menjawab Persoalan Qaiyum)



Tugas pengacara majlis bukanlah mudah seperti yang kita jangkakan. Hal ini kerana kelancaran, kejayaan, hidup dan matinya sesebuah majlis bergantung sepenuhnya kepada pengacara majlis. Sekiranya dalam mengendalikan majlis, pengacara majlis hilang kata-kata maka keadaan ini akan menyebabkan kelancaran majlis terganggu. Begitu juga, jika pengacara majlis tidak pandai menarik perhatian tetamu yang hadir. Hal ini akan menyebabkan tetamu berasa bosan dan akhirnya meninggalkan majlis begitu sahaja. Akibatnya, tuan rumah atau penganjur akan menanggung malu. Oleh itu, sekiranya kita terpilih untuk menjadi pengacara majlis, pengetahuan tentang tugas sebenar pengacara majlis menjadi keperluan yang amat penting.

Di sini saya catatkan sedikit tips-tips berdasarkan pengalaman saya yang tak seberapa dalam mengendalikan majlis. Pertamanya, sebelum membuat teks, rujuklah seberapa banyak sumber yang boleh kita akses termasuklah orang perseorangan mahupun sebarang pusat sumber untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat yang diperlukan. 
Seterusnya, amalkan latihan berulang-ulang. Ini membolehkan kita membiasakan diri dengan sebutan-sebutan yang agak payah terutama yang melibatkan nama individu mahupun pangkat kebesarannya. Kadang-kadang ada sebutan yang lidah kita agak keras untuk menyebutnya. Teks tidak perlu dihafal sepatah demi sepatah perkataannya. Ini kerana situasi sebegini akan menyebabkan anda bertambah tertekan untuk mengingati baris demi baris ayat dalam skrip. Paling penting, jangan lupa membawa teks semasa mengendalikan majlis. Inilah jalan yang paling selamat.

Untuk mengelakkan suasana menjadi agak kelam kabut, pastikan teks disusun mengikut kiu yang telah ditetapkan. Aturan ini haruslah dinomborkan supaya tidak terjadi keadaan di mana kita melangkaui tertib yang telah ditetapkan sebelumnya. Tambahan pula, persepsi penonton kepada kita akan menjadi tinggi jika pengurusan teks dibuat dengan teratur.

Semasa mengendalikan majlis, pastikan pandangan mata kita menjangkaui semua penonton yang ada di hadapan kita. Keyakinan kita jelas terpancar apabila pandangan kita menyentuh setiap audiens. Berucaplah atau bacalah teks dengan tenang dan tidak perlu memaksa-maksa diri membuat pelbagai intonasi yang terkadang menjadikan kita nampak bodoh. Saya pernah berdepan dengan situasi apabila ada pengacara yang menggunakan suara tiruan. Kononnya untuk menampakkan suaranya jelas dan bulat. Hakikatnya suara kita adalah cerminan diri sendiri. Memang ada latihan-latihan yang boleh dipraktikkan untuk melatih suara kita sesuai dengan pengacaraan.

Untuk menjawab soalan saudara Qaiyum, pembesar suara memang didatangkan dengan alat (equalizer) untuk melaraskan suara. Ini adalah kerja juruteknik bunyi yang mengendalikan sistem P.A. Sebagai pengacara, kita seharusnya mengenal suara sendiri. Maksudnya di mana julat tertinggi suara kita supaya juruteknik dapat melaraskan suara kita hingga ke tahap yang paling sesuai. Kegagalan juruteknik suara melaraskan suara kita ke tahap terbaik bukanlah beban yang harus ditanggung oleh pengacara. 

Secara asasnya tugas seorang pengacara majlis ialah :

1.Mengawal majlis.
2. Membuat pengumuman.
3.Memberi panduan kepada hadirin tentang majlis yang sedang dan akan berjalan.


Kesimpulannya, sebelum ke depan khalayak, kumpulkan semangat yang ada. Kuasai suasana dan hilangkan gemuruh. Insyaallah kita boleh. Apapun, petua saya senang saja....belasah aje...!

16.8.10

Pengacaraan Majlis (1)


Definisi Pengacara
1.Orang yang memimpin/mengawal sesuatu acara dalam majlis.
2.Orang yang memberi arahan/panduan dalam sesuatu majlis.
3.Orang yang membuat pengumuman.
4.Bertanggungjawab menjadikan majlis berjalan dengan teratur.
5.Memperkenalkan penceramah/pelakon.

Ciri-Ciri Pengacara
1.Suara baik; lunak, bertenaga.
2.Fasih dan jelas (sebutan tidak pelat)
3.Kebolehan banyak bahasa.
4.Kelajuan sederhana.
5.Kecepatan mengikut keperluan.
6.Tenang.
7.Tahu menggunakan budi bicara.
8.Penyabar.
9.Bijak menyesuaikan perwatakan dengan situasi.
10.Memiliki pengetahuan asas dengan adat istiadat, protokol dan etiket.

3.8.10

CARA MUDAH BERUCAP DI KHALAYAK



Menurut kebanyakan pendapat, penyampaian ucapan atau ceramah yang baik bergantung pada tiga perkara utama:

Siapakah yang menyampaikan?
Bagaimanakah maklumat tersebut disampaikan?
Apakah yang disampaikan?

Jika diteliti, faktor orang yang menyampaikan diletakkan paling atas sekali dalam senarai.

Mengapa? Lazimnya, apabila dimaklumkan bahawa akan ada satu ceramah di tempat anda, apakah perkara pertama yang akan anda tanya? Soalannya pasti "Siapa penceramahnya?" Identiti penceramah sangat penting kerana identiti merupakan daya penarik bagi penganjur untuk menarik lebih banyak penonton.

Walaupun terdapat hanya seorang penceramah yang terkenal dan penceramah lain ialah penceramah biasa yang belum dikenali, daya tarikan dan reputasi penceramah utama tadi mampu untuk menarik kehadiran penonton.

Situasi yang sama juga berlaku dalam penganjuran sesuatu konsert. Apabila tiket konsert mula dijual, penganjur akan meletakkan nama penyanyi yang paling terkenal di atas untuk menarik perhatian peminat. Penganjur juga akan membuat berbagai-bagai helah untuk memastikan penonton tidak meninggalkan konsert lebih awal dengan meletakkan penyanyi pujaan mereka di akhir konsert.

Sebagai bukti penyanyi tersebut hadir, mereka mungkin akan menampilkannya pada permulaan rancangan dengan janji bahawa beliau akan muncul semula. Dengan ini, peminatnya tidak mungkin akan berganjak.

Begitulah pentingnya daya tarikan yang ada pada seseorang penyampai yang baik. Semua ini merupakan reputasi yang dibina sejak awal pembabitan dalam bidang ini dan digilap oleh pengalaman.

Faktor kedua pula ialah cara maklumat disampaikan. Dua orang yang berlainan boleh menyampaikan ceramah dengan menggunakan teks ucapan yang sama tetapi kesannya kepada penonton sudah pasti berbeza.

Bagi topik dan ayat yang sama, sebenarnya boleh disampaikan dengan pelbagai lenggok bahasa, penekanan suara pada perkataan tertentu dan gerak-geri badan yang mengiringi penyampaian tersebut. Situasi ini banyak berlaku kepada pemandu pelancong kerana bagi setiap destinasi, mereka mempunyai skrip untuk bercerita tentang latar belakang tempat yang dilawati kepada pelancong. Bagaimanakah maklumat tersebut disampaikan? Penuh semangat, sambalewa ataupun bersahaja?

Cara penyampaian sangat penting kerana hal ini boleh menimbulkan mood yang berbeza kepada pelancong. Lawatan ke Tugu Negara misalnya boleh menjadi satu pengalaman yang biasa ataupun boleh menjadi sesuatu yang menarik dan menyentuh perasaan.

Pada satu lawatan ke Tugu Negara, terdapat dua kumpulan daripada dua agensi pelancongan yang berbeza. Bagi kumpulan pertama, pemandu pelancong tersebut memberikan penerangan kepada pelancong mengenai Tugu Negara, tahun Tugu Negara dibina, simboliknya dan sejarah yang membawa kepada pembinaannya.

Cara penyampaian adalah sangat bersahaja sehinggakan memberikan impresi bahawa Tugu Negara hanyalah salah satu daripada banyak tugu lain di Malaysia yang tidak ada keistimewaannya. Tidak ada seorang pun pelancong yang berminat untuk mengetahui perihal tugu tersebut dengan lebih lanjut lagi.

Berlainan pula dengan kumpulan yang kedua. Pemandu pelancong memulakan pengenalan kepada Tugu Negara sebagai sebuah tugu peringatan yang banyak memberi erti kepada negara. Cara penyampaian yang agak melankolik sungguh menyentuh hati dan pelancong yang datang turut menghargai pengorbanan askar-askar Melayu yang berjuang habis-habisan pada zaman sebelum kemerdekaan. Mereka turut tersentuh oleh semangat cinta akan negara yang ditunjukkan oleh askar-askar yang terkorban dalam memelihara kedaulatan negara.

Contoh di atas merupakan contoh terbaik untuk membezakan dua penyampaian yang berbeza dengan menggunakan maklumat yang sama. Setiap fakta yang diberikan oleh pemandu pelancong bagi kumpulan kedua telah disebut oleh pemandu pelancong bagi kumpulan pertama.

Yang membezakan hanyalah cara penyampaian, gaya suara dan elemen emosi yang ditunjukkan.
Kebanyakan orang mungkin menyangka kandungan teks ucapan ialah faktor terpenting dalam memastikan sesuatu penyampaian berjaya. Tidak dinafikan kepentingannya tetapi seperti yang telah dijelaskan, dua individu mungkin menyampaikan teks yang sama tetapi cara penyampaian yang berbeza telah meletakkan satu ucapan itu pada tahap yang lebih baik daripada yang satu lagi.

Penyampaian yang baik akan berjaya menarik minat penonton untuk terus mendengar tanpa jemu dan hal ini membantu ke arah memastikan mesej yang ingin disampaikan sampai kepada penonton.

Namun, apakah yang dimaksudkan dengan ‘penyampaian’ atau ‘delivery’? Adakah penyampaian satu perpindahan dari satu tangan ke tangan yang lain? Apabila anda membeli sebuah kereta, penjual kereta akan datang kepada anda dan memberikan kunci kereta berserta dokumen penjualan. Anda menerima semua perkara tersebut dan proses jual beli berakhir di situ. Adakah semudah itu dengan penyampaian sesuatu maklumat?

Sarina merupakan seorang novelis yang terkenal dan pada satu majlis, Sarina telah diminta untuk menyampaikan satu ucapan pendek tentang masalah penjualan novel di negara ini. Sebagai seorang novelis yang telah banyak menghasilkan novel yang bermutu tinggi dan mendapat sambutan yang sangat baik, Sarina tidak pernah merasakan keperitan untuk memastikan semua novelnya terjual. Dia tidak pernah terfikir langsung tentang masalah tersebut yang bagi pendapatnya, langsung tidak wujud.

Oleh sebab tidak terdapat sebarang kaitan antara perkara yang disampaikan dengan elemen emosi semasa Sarina menyampaikan masalah-masalah yang mungkin wujud, Sarina gagal untuk mengaitkan dirinya dengan topik tersebut. Akibatnya, penonton tidak dapat memahami mesej yang ingin disampaikan oleh Sarina kerana dia tidak mempunyai ‘nyawa’. Ucapannya bukan hasil nukilan dari hatinya. Apa yang disampaikan hanyalah berdasarkan cerita-cerita yang didengarinya daripada media massa dan juga teman-teman seperjuangan yang tidak bernasib baik, tidak seperti dirinya.

Yang dilakukan oleh Sarina bukanlah satu penyampaian. Hal ini kerana penonton tidak merasakan sesuatu mesej telah disampaikan kepada mereka dari hati dan dari minda penceramah ke hati dan ke minda mereka.

Oleh itu, penting bagi setiap penceramah untuk mengetahui cara untuk menarik perhatian penonton, tidak bercakap sambalewa dan lebih sistematik dalam penyampaian.

1. Mulakan dengan sesuatu yang menarik perhatian penonton
Walaupun anda kurang bersedia dari segi penyediaan teks, anda masih boleh menyampaikan sesuatu mesej dengan baik sekiranya berpengetahuan dalam topik tersebut. Namun, pada permulaan ucapan, pengenalan yang diberikan haruslah cukup menarik untuk melakar imej yang positif terhadap diri anda.

Sebagai contoh, walaupun Sarina tidak bersedia kerana dia tidak mempunyai pengalaman seperti yang tertulis dalam topik di atas, dia masih berupaya untuk ‘bercerita’ pengalaman yang pernah dialami oleh kawan-kawannya.

Sarina boleh memulakan ucapannya dengan kenyataan yang menarik perhatian, seperti, "Dua minggu lepas, saya didatangi oleh rakan baik saya, yang juga merupakan novelis. Beliau banyak menulis cerita tentang percintaan kaum remaja. Dia datang dengan muka yang muram…" atau Sarina boleh memulakan dengan satu soalan, "Berapa orang di sini yang membaca surat khabar hari ini?"…atau "Berapa ramaikah di sini yang suka membaca novel?"

Walau apa-apa jua teknik yang digunakan, pastikan teknik tersebut mampu menarik perhatian penonton supaya terus mendengar.

2. Pastikan penyampaian anda penuh bertenaga
Seperti yang telah disarankan sebelum ini, variasi suara amat penting. Pastikan kelajuan suara anda perlahan apabila memperkatakan sesuatu yang agak dramatik dan pastikan anda membayangkan keceriaan apabila menceritakan perkara yang menggembirakan. Jangan lupa untuk berhenti apabila perlu. Bercakap tanpa henti seperti kereta api ekspres tidak akan membantu anda menyampaikan mesej.

Jangan hanya berdiri kaku di belakang rostrum tetapi berjalan ke hadapan apabila anda ingin menarik perhatian penonton dan berikan deskripsi dengan pergerakan tangan dan mimik muka anda. Pastikan setiap pergerakan mempunyai matlamat. Jangan mundar-mandir tanpa hala tuju kerana lambat laun penonton akan bosan. Sarina mungkin telah melakukan kesilapan kerana dia tidak bergerak dan tidak mencuba untuk memenangi hati penonton. Dia tenggelam dalam masalahnya sendiri yang merupakan konflik dalaman dirinya.

Sebelum membuat ucapan, pastikan anda mendapat rehat yang secukupnya beberapa jam sebelum masa yang dijadualkan. Mental dan fizikal yang cukup rehat sangat penting untuk mengelakkan rasa gugup. Anda juga harus memberikan perhatian pada perut anda. Kebanyakan penceramah hanya mengambil makanan yang ringan sahaja sebelum berucap. Jangan sekali-kali makan berlebihan kerana apabila perut terlalu kenyang, anda pula terpaksa berdiri untuk menyampaikan ucapan, peraliran darah akan tertumpu ke bahagian perut. Akibatnya, peraliran darah ke otak akan berkurangan dan hal ini menyebabkan anda lesu dan tidak boleh berfikir dengan baik.

Oleh itu, elakkan makan dengan banyak. Selepas menyampaikan ucapan, anda boleh sambung kembali makan makanan yang dihidangkan.

3. Pastikan ucapan anda sistematik
Anda tidak perlu memerah otak untuk mencari idea yang banyak untuk membuat sesuatu pembentangan. Memadai dengan dua atau tiga idea yang baik. Susun idea berikut mengikut kepentingan dan sediakan fakta sokongan seperti contoh, definasi, testimonial atau statistik.

Alat bantuan visual juga boleh disertakan sebagai daya tarikan yang sesuai. Bagi Sarina, dia hanya perlu menyampaikan tiga perkara iaitu:

1. Status penjualan novel setakat ini – penjelasannya boleh disokong dengan statistik penjualan novel yang boleh didapati daripada penerbit.

2. Masalah yang dihadapi oleh novelis – novel tidak laku disebabkan oleh faktor-faktor tidak ada kualiti, strategi pemasaran yang lemah, kurang promosi dan sebagainya. Untuk tambahan, Sarina boleh berkongsi cara penerbit buku membuat promosi dan pemasaran.

3. Cara untuk mengatasi masalah ini – salah satu cadangan yang boleh Sarina utarakan adalah denganmenyarankan agar pihak kerajaan mengawal lambakan novel yang tidak berkualiti, tingkatkan kreativiti penulis agar mampu mengeluarkan novel mengikut kehendak orang ramai, penyelidikan tentang cita rasa pembeli dan sebagainya.

Walaupun Sarina tidak pernah mengalaminya, dia sepatutnya arif tentang keadaan pasaran semasa yang agak lembap dan mengaitkan pengetahuan dan pengalamannya.

4. Sertakan perkataan yang menunjukkan turutan
Perkataan-perkataan seperti "Pertama," "Kedua," atau "Akhir sekali," boleh menjadi petunjuk yang sistematik kepada penonton mengenai struktur ucapan anda. Hal ini boleh membantu mereka untuk mengikuti perjalanan ucapan anda.
Perkataan-perkataan ini juga boleh membezakan pengenalan, isi dan penutup ucapan anda secara keseluruhannya. Dengan ini, ucapan anda akan lebih sistematik dan penonton dapat memahami objektif ucapan yang disampaikan dengan mudah.

5. Ceritakan pengalaman anda
Teknik ini berkesan apabila anda membuat pembentangan terutama sekali dalam bidang teknikal. Lazimnya, bidang teknikal tidak begitu mudah untuk difahami, kecuali semua hadirin yang ada merupakan orang yang bekerja atau belajar dalam bidang ini. Untuk memudahkan pemahaman, anda boleh menceritakan pengalaman anda sendiri dengan bahasa yang mudah.
Berdasarkan pengalaman yang dilalui, anda mampu mengaitkan pendengar secara emosi dengan fakta yang anda ceritakan. Hanya pengalaman peribadi dapat mencapai impak sedemikian.

Apabila anda bercerita, ikutlah kronologi kejadian dengan memasukkan maklumat seperti orang yang terlibat, perkara yang terjadi, masa, sebab dan tempat. Jika anda menggunakan panduan ini, cerita anda tidak akan kekurangan fakta yang diperlukan untuk pemahaman.

Sebagai menambah keunikan pembentangan anda, anda boleh menggunakan alat bantuan visual seperti tayangan video pendek, carta flip dan sebagainya. Sebelum itu, pastikan anda menonton dahulu visual tersebut dengan duduk di tempat penonton dan di belakang sekali. Pastikan penonton yang duduk di belakang sekali dapat melihat visual tersebut.

Buat pengenalan kepada visual berkenaan dan jelaskan sebab visual itu dipilih. Jangan biarkan visual tersebut menjadi demontrasi bisu. Anda harus memberikan petunjuk pada setiap peringkat. Jangan berhenti bercakap langsung. Anda harus memandang ke arah hadirin, bukan visual tersebut. Apabila visual tersebut sudah tidak digunakan, tutup atau sembunyikan daripada pandangan penonton kerana visual tersebut boleh mengganggu konsentrasi mereka terhadap anda.

Seandainya anda menyampaikan ucapan untuk memujuk penonton supaya membuat sesuatu, sebagai tambahan kepada pengalaman yang anda alami sendiri, masukkan juga testimonial daripada pakar yang dihormati dan dikenali oleh semua hadirin untuk membuktikan yang anda serius.

Anda juga boleh memasukkan data statistik yang sahih. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin membuktikan bahawa pendengaran penting untuk meningkat kualiti servis kepada pelanggan, anda boleh membentangkan statistik yang menyatakan kecekapan pendengaran manusia hanyalah sebanyak 25% sahaja walaupun kita menghabiskan lebih dari separuh masa kita berkomunikasi dengan mendengar.


28.4.10

Hukum Tarikan

Apa yang anda fokuskan dalam fikiran dan emosi anda akan menarik corak kehidupan dalam kehidupan anda. Yang serupa akan menarik pada yang serupa (Like attract like). Tanpa anda sedari ,apa yang anda perolehi dalam kehidupan anda sebenarnya adalah dalam usaha anda sendiri yang menarik pola kehidupan yang anda berikan tumpuan getaran emosi yang menyelubungi ataupun gelung tenaga yang anda bina sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Firman allah bermaksud,
dan bahwasanya usaha itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya). (AN-Najm:40)
Usaha yang bermula dari tercetusnya niat samaada positif atau negatif akan menghasilkan tindakan. Secara tidak langsung tenaga gelombang ini akan membawa kita kepada persekitaran,pergaulan sosial dan peristiwa yang sama dengan gelombang yang sama dengan kita.

Sebagai contoh ,seseorang yang menumpukan niat dan pemikiran yang difokuskan untuk melakukan amalan baik seperti menuntut ilmu agama akan berada di tempat seperti masjid, berkumpul dengan orang-orang yang baik dan melakukan amalan yang baik.

Sebaliknya orang yang berniat negatif misalnya ingin melakukan maksiat akan berada di sisi pergaulan orang yang bermaksiat dan berada di tempat-tempat maksiat

2.3.10

Nak Present? Ini petuanya...

Bacalah tips bagaimana membuat presentation yang hebat yang ditulis oleh Dr Irfan Khairi ini…
Dalam perniagaan, ada kalanya kita perlu melakukan presentation. Tak kira, presentation proposal, atau melakukan sedikit “talk” atau ceramah, mendapatkan sponsor, atau apa sahaja. Skil presentation adalah penting dalam perniagaan.
Lihat sahaja Donald Trump, Bill Gates, Anita Roddick, Steve Jobs, Oprah Winfrey… semua ikon perniagaan yang turut hebat dalam skill komunikasi & presentation… mungkin juga sebaliknya, mereka hebat dalam skil presentation dan akibatnya perniagaan menjadi hebat.
Skil komunikasi/presentation adalah penting dalam mengembangkan lagi perniagaan kita. Berikut adalah beberapa tips:
***Start with a BANG!
Mula dengan sesuatu yang mengejutkan… atau membuat pendengar anda teruja. tak semestinya mula dengan lawak. Sekiranya anda bukan jenis yang suka melawak, tak perlu pun takpe. Tetapi, mulakan sesuatu yang boleh menarik perhatian pendengar anda. Sekiranya anda membuat presentation untuk mendapatkan derma bagi mereka yang kurang bernasib baik, apa kata mulakan dengan slides gambar-gambar orang2 yang kurang bernasib baik dalam keadaan yang menyedihkan.
Kemudian tanya… “Bayangkan ibu bapa dan adik beradik anda dalam keadaan ini…”. Pastinya dapat menangkap perhatian audience pada minit yang pertama.
***Keep it short
Ini kesilapan yang selalu saya lihat bagi mereka yang masih lagi
baru dalam bidang membuat presentation. Terlalu banyak yang ingin disampaikan. Contoh, masa yang diberikan 10 minit, dalam masa itu, 20 point ingin disampaikan. Ataupun, sering kali juga, membuat presentation dan memakan masa yang lama. Saya pasti anda sendiri pernah mengalami ini, duduk di dewan dan mendengar presentation yang lama (dan agak membosankan) kerana speaker tersebut hendak menyampaikan seluruh mesej!
Keep it short. Bagi anda yang pernah melihat saya melakukan talk pendek atau jadi tetamu jemputan membuat talk, pastinya perasan sering kali saya hanya cakap untuk 10-15 minit sahaja. Ada kalanya saya bercakap 5 minit sahaja dan hanya menyampaikan 2-3 point penting. Make your audience want more… dari pada mengharapkan anda cepat habis bercakap! Keeping it short bererti anda tidak menyampaikan terlalu banyak point serta tidak memakan masa yang lama.
***Relate with them
Manusia mempunyai tarikan emosi. Manusia akan tertarik dengan manusia yang “lebih kurang” sepertinya. Tentukan audience anda dan cuba dapatkan sesuatu yang boleh anda kaitkan dengan audien.
Contoh, sekiranya anda bercakap dihadapan golongan koporat,
pastikan pakaian anda juga seperti koprat dan beri contoh
pengalaman berkaitan dengan industri koprat. Sekiranya anda
bercakap dengan golongan suri rumah, masukkan elemen-elemen menjaga anak dan mengendalikan rumah dalam talk anda.
Dengan mempunyai persamaan dengan mereka yang anda bercakap, hubungan antara anda dan audience menjadi semakin rapat dan mereka dapat menerima anda dengan lebih mudah.
Survey ada mengatakan, public speaking adalah #1 perkara paling menakutkan untuk orang ramai. Masa saya dulu2 di sekolah & university, saya sendiri antara mereka yang takut hendak memberi public speaking. Tak berani! Tapi, sekarang, public speaking & presentation menjadi antara rutin karier saya
Oleh : Dr Irfan Khairi (http://www.irfankhairi.com/)

17.1.10

Persediaan Awal Untuk Berucap

Perlu bersedia dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).

Jasmani – badan perlu sihat. Penampilan fizikal juga perlu menyerlah keterampilan dan kredibiliti diri penyampai ucapan agar dia mendapat first impression yang baik. First impression yang positif dari khalayak adalah penting kerana ia mampu membantu meningkatkan impak tajuk yang disampaikan oleh penyampai.

Emosi – Penyampai perlu bersedia mengawal emosi bila berhadapan dengan kumpulan sasarannya. Berdasarkan pengalaman saya, kebanyakan khalayak bersedia untuk mendengar apa yang bakal diucapkan. Mungkin dalam 5% sahaja yang mungkin ‘berkonfrantasi’ dengan penceramah berkaitan dengan topik-topik tertentu yang disuarakan. Oleh yang demikian, nasihat saya dari pengalaman saya sendiri, cuba elakkan topik-topik yang boleh menyebabkan ‘berkonfrantasi’ tersebut dan lebih fokus kepada topik yang memberi manfaat kepada kumpulan sasaran dan juga turut menyokong penyampaian kita menjadi lebih berkesan.

Rohani – Pastikan hati kita tulus dan ikhlas ketika menyampaikan ucapan kita. Pastikan nilai murni terpelihara. Ingatlah bahawa kita memberikan ucapan kepada khalayak ramai, pastinya mereka inginkan kebaikan daripada dalam hati kita bukan kepura-puraan. Saya ingin mencadangkan, bercakaplah yang benar dan yang telah anda alami dan amalkan untuk disampaikan dengan tujuan kebaikan tersebut dapat tersebut luas.

Intelek – pandai bercakap sahaja tidak cukup. Kita perlu kaji sejauh mungkin fakta-fakta yang kita sampaikan. Jangan sampai fakta kita ketinggalan zaman atau tidak sah lagi untuk digunakan. Sebagai seorang penceramah, kita perlu up-to-date atau kemas kini dengan maklumat yang kita sampaikan agar ianya tidak menimbulkan kontroversi di kalangan kumpulan sasaran kita dan tentunya kita tidak ingin dipanggil penceramah bodoh, bukan?

6.1.10

Panduan Pidato (1)


Makna Pidato
Pidato ialah syarahan kepada umum, atas tajuk tertentu yang disampaikan oleh seorang penyampai yang dipanggil “pemidato”, mengandungi pendahuluan, isi, dan penutup.

Tujuan Pidato
Pidato bertujuan menyampaikan idea berkenaan sesuatu isu kepada hadirin, dalam masa yang sama meyakinkan hadirin tersebut melalui cara pembawaan pidato. Pemidato mestilah memahami tujuan pidato ini terlebih dahulu.

Beza Istilah
Kita sering terkeliru dengan istilah “pidato”, “ucapan”, dan “syarahan”. Persamaan kesemua ini ialah,disampaikan oleh seorang penyampai kepada khalayak. Ini berbeza dengan bahas atau debat yang disampaikan secara berkumpulan bertujuan mengalahkan pihak lawan.

Pada hemat saya, pada asasnya pidato dan syarahan sama. Tidak banyak perbezaan antara kedua-duanya kecuali konteks yang dilihat oleh masyarakat. Syarahan boleh dilihat daripada beberapa konteks. Yang pertama ialah konteks syariah dan akidah. Seringkali penyampaian yang berkisar akidah, syariah, sirah dan fiqah disebut syarahan. Pertandingan bercakap sempena Maal Hijrah juga disebut “Pertandingan Syarahan”. Yang kedua ialah penyampaian panjang lebar oleh tokoh-tokoh, khususnya ahli akademik berkenaan sesuatu. Ini juga dipanggil syarahan. Sebab itulah pendidik di universiti digelar pensyarah. Yang ketiga, seperti yang pertama tadi, tetapi tidak menyebut hal-hal kerukunan Islam dan iman, tidak menyebut sirah nabi dan lain-lain, juga disebut syarahan.

Yang disebut pidato ialah syarahan, tetapi dalam konteks yang pertama dan ketiga. Konteks kedua tidaklah dipanggil pidato kerana ia merupakan persembahan yang menggunakan teks dan bahan rujukan yang banyak semasa menyampaikan. 

Sementara ucapan pula membawa maksud yang berbeza. Ucapan biasanya berkaitan dengan sesuatu majlis atau upacara, dibuat semasa awal atau akhir majlis tersebut berlangsung. Ucapan biasanya boleh menyentuh hal-hal lain selain topik yang diberikan, atau juga boleh menyentuh dua tiga perkara sekali gus, tidak seperti pidato yang hanya bertumpu kepada satu topik sahaja.

4.1.10

Kalau Berani Cakap Depan-Depan

KUALA LUMPUR 30 Dis. – Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dibenarkan mewujudkan semula sudut pidato khas bagi meningkatkan kemahiran pengucapan awam di kalangan mahasiswa.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, langkah itu bagi melahirkan lebih ramai mahasiswa yang berkebolehan berhujah serta meningkatkan bakat pengucapan awam.

Katanya, kemahiran berucap perlu dikuasai oleh mahasiswa dan tidak terhad kepada kumpulan pelajar tertentu sahaja seperti pemidato universiti.

“Kebenaran itu akan menghidupkan budaya keilmuan dan intelektual di universiti selain melahirkan mahasiswa cemerlang bukan sahaja dari segi akademik semata-mata.

“Bagaimanapun, sudut pidato berkenaan perlu dilakukan secara beretika, berhemah dengan persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti masing-masing, kita yakin ia tidak akan menimbulkan implikasi negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pertandingan Pidato Kemerdekaan antara IPT 2009 di sini hari ini.

Turut hadir, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid dan Pengerusi Yayasan Tunku Abdul Rahman, Dr. Tengku Abdul Aziz Tengku Zainal.

Program yang dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Abdul Rahman, Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) dan UIAM turut menyediakan wang tunai bernilai RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.

Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Amirrudin Abdul Rahman dinobatkan pemenang kategori pidato bahasa Melayu dan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ain Anissa Mohamed bagi kategori bahasa Inggeris.


Sudut pidato yang diharamkan berikutan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1975 sejak 34 tahun lalu dibenarkan semula di semua IPT dan IPTS selepas pindaan mengenainya diwartakan pada Februari tahun lalu.

Menurut Saifuddin, pindaan AUKU 1975 itu memberi lebih kebebasan bersuara kepada mahasiswa.Jelasnya, mahasiswa dapat menggunakan platform tersebut untuk berhujah dan berbincang mengenai isu semasa secara lebih meluas termasuk melibatkan isu-isu politik tanah air.

“Kita berharap ia dapat meningkatkan kualiti lapan teras kokurikulum di universiti. “Teras kokurikulum di universiti ada lapan, satu daripadanya adalah pengucapan awam. Malangnya status pengucapan awam pada hari ini berada di tangga paling bawah dari segi jumlah program yang dianjurkan oleh universiti dan penyertaan penuntut,” katanya.

Dipetik Dari Utusan Malaysia 31/12/2009

1.1.10

Cakap Saja


Apabila disuruh untuk berucap di depan orang ramai pelbagai reaksi yang akan diberikan oleh setiap orang. Bagaimana dengan anda? Adakah anda rasa berdebar-debar, gementar dan takut? Sebenarnya setiap speaker samada yang baru, lama atau yang dikenali di seluruh dunia, semuanya mengalami peristiwa yang sama terutamanya rasa gemuruh untuk bercakap di khalayak awam.

Saya juga tidak terkecuali mengalami perasaan tersebut. Dengan mempelajari teknik-teknik yang betul maka lama-kelamaan rasa gemuruh dan gementar dapat di atasi dan dikawal apabila telah terbina keyakinan diri setelah berulangkali berceramah.

Pada artikel kali ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca teknik-teknik pengucapan awam yang mudah dan berkesan.

1)Ada niat dan azam untuk berucap di hadapan orang ramai.Niat dan azam akan mencetuskan semangat yang akan memberikan satu getaran tenaga bagi menghadapi apa jua halangan semasa kita berucap dan melalui proses kematangan. Jika kita sentiasa mengelakkan diri maka sampai bilapun kita akan berasa takut .

2)Mula membuat pemerhatian pada perucap-perucap untuk kita jadikan sebagai penduan. Dengar nada pertuturan dan ucapan dari aspek nada tinggi rendah. Lihat pergerakan tubuh badan dan mimik muka mereka.

3)Perlu buat persediaan sebelum berucap. Sediakan rangka dan isi yang ingin kita sampaikan. Kenal pasti sasaran khalayak kita dan apa keperluaan mereka mendengar isi ucapan kita.Buat rujukan yang perlu. 


4) Buat latihan denga menggunakan rangka isi dan cuba praktikkan di depan cermin. Perucap yang baik tidak akan melihat dan membaca petikan teks.

5) Jika anda masih baru, pastikan anda ada kad kecil sebagai catatan rangka isi untuk berucap.

6) Persediaan mental pula ialah sebelum anda berucap buat raptai mental. Berucap dahulu dalam pentas minda anda.'Lihat, dengar dan rasa kehebatan anda berucap dan penonton khalayak anda begitu mengkagumi anda dengan sambutan yang begitu hangat. Ulang tayang apa yang anda lhat,dengar dan rasaan emosi anda walaupun dari aspek realiti anda belum berucap. Teknik ini hanya untuk menanamkan dalam minda bawah sedar anda dan ianya akan terkeluar secara automatis semasa anda benar-benar berucap di khalayak ramai

7) Penerimaan diri. katakan : khalayak hanya ingin mendengar,melihat dan merasakan yang terbaik dari ku maka akan akan berikan yang terbaik. Fokus pada ucapan anda bukan pada kelemahan anda.Katakan : Apa sahaja yang berlaku aku terima dengan hati yang terbuka dan aku akan baiki dari masa ke semasa. Aku seronok dengan pengalaman baru yang aku lalui.Aku suka dengan diriku dan aku suka dengan khalayak yang mendengar ucapan ku. Aku hargai mereka.Aku sayangi mereka.

8)Berucaplah dengan fikiran dan emosi yang positif. Pastikan sebelum anda berucap mood emosi anda berada dalam mood positif. jika anda berasa dukacita, stress,kecewa, kurang bersemangat,bimbang tukarkan pada keriangan ,bersemangat, sayang, gembira, unggul dan sebagainya kerana sebarang mood anda sama ada positif dan negatif akan juga turut dirasai oleh khalayak anda.

9) Pandangan pertama (first impression)- Ianya penting dari aspek cara berpakaian yang sesuai dan pastikan anda mulakan dengan senyuman. Anda perlu menyukai semua khalayak anda. Kata-kata yang menunjukkan atau memberi tanda yang anda amat menyenangi khalayak anda perlu diutamakan.Mulakan dengan ice breaking dan bina hubungan dengan khalayak anda supaya dapt diwujudkan keserasian

10) Nyatakan objektif yang jelas apa isi ucapan anda kemudian barulah dikembangkan dengan isi serta bahagian penutup. Mukadimah 15% isi 70% dan penutup 15%

11) Apabila ada rasa debaran maka jangan berlawan dengan perasaan anda. Terima ia seadanya dan beritahu pada diri : khalayak ku ingin mendengar ucapanku yang terbaik maka aku akan berikan yang terbaik setakat yang aku mampu pada masa ini. Tarik nafas dalam-dalam, tahan dan lepaskan dengan perasaan debarku hilang bersama hembusan nafasku.Katakan ;Aku sedah benar-benar bersedia dengan ucapan ini.

12)Jika ada sebarang kesilapan misalnya tidak ingat maka teruskan sahaja ucapan anda dan jangan sesekali memohon maaf menampakkan kesalahan anda pada masa berucap.

13) Sulamkan ucapan anda dengan jenaka .

14) Pastikan anda tidak berucap seperti menaburkan peluru. Bercakap dengan jelas dan lantang ,jangan terlalu cepat dan pastikan setiap kata-kata anda berserta dengan ruh, jiwa,emosi dan fikiran anda. Ini akan memastikan ucapan anda penuh dramatik dengan nada-nada yang pelbagai yang menjadikan ucapan anda 'HIDUP'.Gunakan pergerakan tangan ,kaki dan mimik muka yang sesuai untuk mengambarkan emosi dan menjelaskan maksud ucapan anda.

15) Hubungan mata(eye contact)- Dalam perhimpunan khalayak yang ramai hubungan mata anda fokuskan titik penglihatan bermula pada mata khalayak di hadapan pada bahagian tengah kemudian khalayak yang berada di penjuru sebelah kanan diikuti khalayak penjuru kanan di belakang, khalayak penjuru kiri belakang, khalayak penjuru kiri depan dan khalayak di bahagiang tengah. Cara ini membolehkan 'kuasa pandangan mata anda akan 'mengikat' khalayak anda untuk mendengar dan melihat anda dengan penuh minat
16) Pengalaman sebenar dan pengalaman orang lain perlu dimasukkan dalam ucapan anda kerana kisah masyarakat menjadi daya penarik mengungkapkan maksud ucapan anda.

17) Datang 15 minit lebih awal untuk persiapan yang rapi supaya anda tidak kelihatan kelam kabut.

18)Alat bantuan juga boleh digunakan sebagai daya penarik dan menjelaskan maksud ucapan supaya tercapai objektifnya . Alat tersebut adalah seperti papan dan kertas mahjung,pen marker, sistem audio, laptop dan lcd dengan menggunakan power point atau sebagainya.

19 ) Perkara yang paling penting doa seperti doa rabbi srahli sadri wayassirli amri....hingga akhir

Selamat berucap!