6.1.10

Panduan Pidato (1)


Makna Pidato
Pidato ialah syarahan kepada umum, atas tajuk tertentu yang disampaikan oleh seorang penyampai yang dipanggil “pemidato”, mengandungi pendahuluan, isi, dan penutup.

Tujuan Pidato
Pidato bertujuan menyampaikan idea berkenaan sesuatu isu kepada hadirin, dalam masa yang sama meyakinkan hadirin tersebut melalui cara pembawaan pidato. Pemidato mestilah memahami tujuan pidato ini terlebih dahulu.

Beza Istilah
Kita sering terkeliru dengan istilah “pidato”, “ucapan”, dan “syarahan”. Persamaan kesemua ini ialah,disampaikan oleh seorang penyampai kepada khalayak. Ini berbeza dengan bahas atau debat yang disampaikan secara berkumpulan bertujuan mengalahkan pihak lawan.

Pada hemat saya, pada asasnya pidato dan syarahan sama. Tidak banyak perbezaan antara kedua-duanya kecuali konteks yang dilihat oleh masyarakat. Syarahan boleh dilihat daripada beberapa konteks. Yang pertama ialah konteks syariah dan akidah. Seringkali penyampaian yang berkisar akidah, syariah, sirah dan fiqah disebut syarahan. Pertandingan bercakap sempena Maal Hijrah juga disebut “Pertandingan Syarahan”. Yang kedua ialah penyampaian panjang lebar oleh tokoh-tokoh, khususnya ahli akademik berkenaan sesuatu. Ini juga dipanggil syarahan. Sebab itulah pendidik di universiti digelar pensyarah. Yang ketiga, seperti yang pertama tadi, tetapi tidak menyebut hal-hal kerukunan Islam dan iman, tidak menyebut sirah nabi dan lain-lain, juga disebut syarahan.

Yang disebut pidato ialah syarahan, tetapi dalam konteks yang pertama dan ketiga. Konteks kedua tidaklah dipanggil pidato kerana ia merupakan persembahan yang menggunakan teks dan bahan rujukan yang banyak semasa menyampaikan. 

Sementara ucapan pula membawa maksud yang berbeza. Ucapan biasanya berkaitan dengan sesuatu majlis atau upacara, dibuat semasa awal atau akhir majlis tersebut berlangsung. Ucapan biasanya boleh menyentuh hal-hal lain selain topik yang diberikan, atau juga boleh menyentuh dua tiga perkara sekali gus, tidak seperti pidato yang hanya bertumpu kepada satu topik sahaja.

Tiada ulasan: