20.10.10

Pengacaraan Majlis (Menjawab Persoalan Qaiyum)



Tugas pengacara majlis bukanlah mudah seperti yang kita jangkakan. Hal ini kerana kelancaran, kejayaan, hidup dan matinya sesebuah majlis bergantung sepenuhnya kepada pengacara majlis. Sekiranya dalam mengendalikan majlis, pengacara majlis hilang kata-kata maka keadaan ini akan menyebabkan kelancaran majlis terganggu. Begitu juga, jika pengacara majlis tidak pandai menarik perhatian tetamu yang hadir. Hal ini akan menyebabkan tetamu berasa bosan dan akhirnya meninggalkan majlis begitu sahaja. Akibatnya, tuan rumah atau penganjur akan menanggung malu. Oleh itu, sekiranya kita terpilih untuk menjadi pengacara majlis, pengetahuan tentang tugas sebenar pengacara majlis menjadi keperluan yang amat penting.

Di sini saya catatkan sedikit tips-tips berdasarkan pengalaman saya yang tak seberapa dalam mengendalikan majlis. Pertamanya, sebelum membuat teks, rujuklah seberapa banyak sumber yang boleh kita akses termasuklah orang perseorangan mahupun sebarang pusat sumber untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat yang diperlukan. 
Seterusnya, amalkan latihan berulang-ulang. Ini membolehkan kita membiasakan diri dengan sebutan-sebutan yang agak payah terutama yang melibatkan nama individu mahupun pangkat kebesarannya. Kadang-kadang ada sebutan yang lidah kita agak keras untuk menyebutnya. Teks tidak perlu dihafal sepatah demi sepatah perkataannya. Ini kerana situasi sebegini akan menyebabkan anda bertambah tertekan untuk mengingati baris demi baris ayat dalam skrip. Paling penting, jangan lupa membawa teks semasa mengendalikan majlis. Inilah jalan yang paling selamat.

Untuk mengelakkan suasana menjadi agak kelam kabut, pastikan teks disusun mengikut kiu yang telah ditetapkan. Aturan ini haruslah dinomborkan supaya tidak terjadi keadaan di mana kita melangkaui tertib yang telah ditetapkan sebelumnya. Tambahan pula, persepsi penonton kepada kita akan menjadi tinggi jika pengurusan teks dibuat dengan teratur.

Semasa mengendalikan majlis, pastikan pandangan mata kita menjangkaui semua penonton yang ada di hadapan kita. Keyakinan kita jelas terpancar apabila pandangan kita menyentuh setiap audiens. Berucaplah atau bacalah teks dengan tenang dan tidak perlu memaksa-maksa diri membuat pelbagai intonasi yang terkadang menjadikan kita nampak bodoh. Saya pernah berdepan dengan situasi apabila ada pengacara yang menggunakan suara tiruan. Kononnya untuk menampakkan suaranya jelas dan bulat. Hakikatnya suara kita adalah cerminan diri sendiri. Memang ada latihan-latihan yang boleh dipraktikkan untuk melatih suara kita sesuai dengan pengacaraan.

Untuk menjawab soalan saudara Qaiyum, pembesar suara memang didatangkan dengan alat (equalizer) untuk melaraskan suara. Ini adalah kerja juruteknik bunyi yang mengendalikan sistem P.A. Sebagai pengacara, kita seharusnya mengenal suara sendiri. Maksudnya di mana julat tertinggi suara kita supaya juruteknik dapat melaraskan suara kita hingga ke tahap yang paling sesuai. Kegagalan juruteknik suara melaraskan suara kita ke tahap terbaik bukanlah beban yang harus ditanggung oleh pengacara. 

Secara asasnya tugas seorang pengacara majlis ialah :

1.Mengawal majlis.
2. Membuat pengumuman.
3.Memberi panduan kepada hadirin tentang majlis yang sedang dan akan berjalan.


Kesimpulannya, sebelum ke depan khalayak, kumpulkan semangat yang ada. Kuasai suasana dan hilangkan gemuruh. Insyaallah kita boleh. Apapun, petua saya senang saja....belasah aje...!

Tiada ulasan: