21.10.11

Latihan Vokal

Untuk mempunyai vokal yang baik ini, maka perlu dilakukan latihan‑latihan vokal. Banyak cara, yang dilakukan untuk melatih vokal, antara lain :

1.  Tariklah nafas, lantas keluarkan lewat mulut sambil menghentakan suara "wah…” dengan energi suara.Lakukan ini berulang kali.

2.    Tariklah nafas, lantas keluarkan lewat mulut sambil menggumam "mmm…mmm…”  (suara keluar lewat hidung).

3.    Sama dengan latihan kedua, hanya keluarkan dengan suara mendesis,"ssss……."

4. Hirup udara banyak‑banyak, kemudian keluarkan vokal "aaaaa…….”  sampai batas nafas yang terakhir.Nada suara jangan berubah.

5.     Sama dengan latihan di atas, hanya nada (tinggi rendah suara) diubah-ubah naik turun (dalam satu tarikan nafas)

6.  Keluarkan vokal “a…..a……” secara terputus-putus.

7.Keluarkan suara vokal “a‑i‑u‑e‑o", “ai‑ao‑au‑ae‑", "oa‑oi‑oe‑ou", “iao‑iau‑iae‑aie‑aio‑aiu‑oui‑oua‑uei‑uia‑......” dan sebagainya.
 
8.  Berteriaklah sekuat‑kuatnya.

9.Bersuara, berbicara, berteriak sambil berialan, bongkok, bergulung‑gulung, berlari, berputar‑putar dan berbagai variasi lainnnya.

5.10.11

Panduan Mengawal Darah Gemuruh

Darah gemuruh bukanlah penyakit sebenarnya. Setiap orang pasti pernah dan selalu mengalami darah gemuruh. Ia satu perasaan normal. Apa yang perlu kita perhatikan adalah sejauhmana kita berupaya mengawal perasaan ini daripada menyelubungi kita sepanjang kita berada di depan khalayak. Ingin saya kongsikan sedikit tips bagaimana untuk mengawal darah gemuruh. Tip ini adalah sebahagian amalan saya sebelum berdepan dengan khalayak.

    1.Pertamanya adalah permainan psikologi (intrapersonal communication). Percaya bahawa :

Yakin diri anda boleh.
Khalayak akan bersimpati dengan anda .
Khalayak adalah kawan anda.
 Anda adalah normal seperti orang lain.
Perhatian tertumpu pada majlis bukan perasaan anda.

  1. Doa .
سَخِّرْلِيْ كُلَّ أَحَدٍ بِحَقِّ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ. اَللَّهُمَّ اَحْطَعْ لِيْ كُلَّ مَنْ يَرَانِيْ مِنَ الْجِنِّ وَالاِنْسِ وَالطَّيْرِ وَالْوَحْشِ وَالْهَوَامِ

Maksudnya :“Mudahkanlah wahai Tuhanku dan setiap orang dengan kebenaran kalimah Bismillahirrahmanirrahim, wahai tuhan Engkau tundukkanlah setiap yang melihat padaku, daripada jin, manusia, burung dan binatang buas dan lain-lain binatang.
.
  1. Fizikal (Isometric Exercise)
  Tarik nafas dalam-dalam
Gerak kepala ke kiri dan kanan
Goyang tangan
 Goyang kaki

  1. Urus masa anda: Jangan lewat
Insyaallah jika kena kena caranya anda mampu mengawal darah gemuruh.

27.9.11

Etika Berpakaian

Walaupun  hanya sebagai pengacara sebaik-baiknya kita juga perlu memahami  protokol dan etiket majlis supaya memudahkan tugasan kita sebagai pengacara. Di bawah ini saya kongsikan sedikit tatacara protokol dan etiket majlis.

ETIKA BERPAKAIAN


Ketika mengacarakan sesuatu majlis rasmi, elakkan daripada memakai pakaian yang berwarna seperti oren, merah, serta hijau terutamanya di siang hari (bagi lelaki). Ini kerana pakaian tersebut tidak dianggap sesuai ketika berada di majlis rasmi atas sebab faktor warna baju tersebut yang dianggap terlalu cerah. Bagi aksesori pula, seeloknya memakai sebanyak 3 jenis aksesori (lelaki) serta 4 jenis aksesori (wanita). Namun jika kita mahukan perhatian, pakailah warna-warna yang saya sebutkan di atas. Mengalahkan artis pujaan Malaya pula. Bayangkan si lelaki berbaju kuning dengan tali leher hijau dipadankan dengan seluar berwarna kelabu! Seeloknya berseluar slack hitam dengan kemeja lengan panjang putih dan bertali leher.

Contoh pakaian yang sesuai sebagai pengacara

Aksesori bagi lelaki termasuklah cincin (pakai di jari tangan kanan), jam tangan (pakai di tangan kiri) serta pen (diletakkan di dalam poket blazer anda). Pen tersebut sebolehnya yang berjenama mahal bukan setakat Kilometrico berharga lapan kupang sahaja yang boleh menampakkan ketrampilan diri anda ketika berjumpa dengan pelbagai jenis VIP ketika di dalam majlis rasmi. 

Bagi wanita pula, seeloknya memakai cincin di jari tangan kiri (bagi yang sudah berkahwin), jam tangan di sebelah kiri, gelang tangan, serta "brooch" tudung (maksimum 2 sahaja). Ini dianggap aksesori paling sesuai yang perlu anda pakai ketika menghadiri majlis rasmi. Bagi penggunaan beg tangan pula, penggunaanya adalah berbeza bergantung kepada situasi samaada anda menggunakannya untuk kegunaan harian, atau majlis rasmi. Bagi yang bertudung cukuplah sekadar tudung yang biasa digunakan oleh kebanyakan wanita. Tidak usah sampai anda digelar badut bertudung. Biarlah Yuna sahaja membelit kepalanya dengan pelbagai fesyen yang kadang-kadang memeningkan kepala melihatnya.

Itulah serba ringkas yang boleh saya kongsikan berkaitan dengan etika berpakaian seorang pengacara majlis. Ingat ya, biar tetamu pulang dengan cerita positif tentang anda daripada mereka bercerita tentang tudung "bling-bling" anda yang menyilau mata.

17.3.11

Teknik Pujukan



Selalunya aspek pujukan digunakan pada penghujung pengucapan . Pastikan ia tidak terlalu mengada-ngada sehingga mendatangkan kebencian khalayak. Gunakan teknik ini secara budiman dan sederhana agar ia mampu mempersonakan. Kebiasaannya teknik ini digunakan oleh pemidato atau pendebat. Mereka akan menggunakan 1 minit yang terakhir untuk memujuk khalayak dan hakim mempercayai  hujah mereka. Jika anda mampu menggunakan teknik ini dengan sebaiknya,  penonton anda bangun memberi tepukan gemuruh kepada anda.

8.3.11

Skrip Hos Malam Pengucapan Puisi Lingkaran Hidup

Segmen Pertama - Anak
Kehidupan adalah lingkaran. Pasti akan bertemu titik pertemuan apabila sampai ketikanya. Alam hidup manusia bermula dari titisan-titisan air, ditiupkan roh menjadi seketul daging. Sembilan bulan dalam kegelapan. Berkongsi rasa berkongsi udara. ( mula masuk nazam.)
Dalam segmen pertama ini, sajak karya Sabar Bohari, “Bayi” akan dihantar oleh ___________________ ke pentas untuk kita sama merasai sucinya makna seorang bayi. Ibarat kain putih, tiada kusam tiada noda. Harapnya bayi kekal bersih sehingga ke hujung usia.
Melalui sajak kedua iaitu “Tidurlah Anak” hasil karya Muhammad Hj. Salleh, ______________________ ingin menyampaikan pesan. Katanya, malam dan siang adalah pasangan saling melengkapi. Siang tidak lengkap tanpa malam. Kepada malam, usah dicemburui siang. Kalian akan bertemu jua akhirnya.
Sajak Usman Awang, “Hadiah” akan disampaikan oleh________________________.Walau cuma sekerat pensel, namun hadiah itu tetap berbekas di benak anak. Senapang bukanlah jalan mencari kedamaian. Di tangan ibu dan bapa, senapang dan pensel sekerat menjadi pilihan. Pilihlah yang terbaik.

Segmen Kedua – Remaja Dewasa
Ketuaan bukanlah sesuatu yang harus digeruni. Keretaan haruslah diraikan dengan cara yang sewajarnya. Fitrah alam tak usah dilawan. Muda sudah pasti akan tua.
Dalam sajak Budak Tua karya Abdul Ghaffar Ibrahim, _______________________________melontarkan persoalan tentang ketakutan manusia berdepan dengan cabaran yang menanti di setiap persimpangan hidupnya. Dalam diri seorang manusia dewasa, ada tersembunyi budak tuanya. Hadapi kebenaran hidup tanpa perlu gusarkan apa-apa.
Seterusnya, __________________________akan menyampaikan sajak “Harga Remaja” hasil nukilan Rahman Shaari. Katanya harga remaja amat mahal dan tidak dijual di mana-mana. Katanya lagi, kesusutan nilai remaja akan terjadi andai tiada ilmu di dada.
Untuk mengakhiri segmen kedua ini _______________dengan karya T. Alias Taib, “Semakin Tua meluahkan pemikiran bahawa setiap kemudaan ada ketuaannya. Katanya lagi, cermin diri semakin retak apabila tiada pertimbangan antara dosa dan pahala. Ketuaan adalah pasti. Tidak tertangguh-tangguh atau terhenti-henti.
  
Segmen Ketiga – Tua Mati.
Semakin hari semakin hampir pada kematian. Ada janji pada ketuaan. Janjinya adalah kematian. Tak perlu ditakutkan pada kematian.
Karya A. Samad Said, “Kita Ini tetamu Senja yang disampaikan oleh ______________ akan cuba menghamburkan pemikiran bahawa hidup di dunia ini hanyalah sebentar cuma. Bila cukup detik, kembalilah kita menghadap pencipta. Percayalah…kematian hanyalah permulaan untuk sebuah perbicaraan yang panjang.
Kematian oh kematian. Bau kematian ada di mana-mana. Bersembunyi di sebalik diri masing-masing. Dalam sajak “Tanah Ini Akan Mencintai Aku”, karya Latiff Mohidin, ____________________akan memerikan kematian dari sudut pandangan roh. Negeri kematian bukanlah tempat asing. Kita semua pasti akan sampai. Bagaimana caranya? Bila sampainya? Entah…!

PANDUAN AM
1.       Penyampaian bergantung kepada gaya masing-masing.
2.       Penyampaian haruslah “stylish” ataupun gaya yang agak melankolik.
3.       Perlu ada permainan emosi melalui intonasi dan mimik muka.
4.       Penyampaian berdasarkan prinsip “bercakap dengan khalayak”
5.       Hos juga perlu menekuni sajak supaya pemahaman lebih jelas.
6.       Hos boleh membuat “ad lib” (penambahan) pada mana-mana bahagian.
7.       Latihan haruslah keras dan berterusan.
8.       Istiqamah dengan gaya penyampaian sendiri.
9.       Suara perlu dilantunkan semaksima mungkin.
10.   Hos adalah sebahagian daripada pementasan dan tidak terasing dalam ruangnya tersendiri.
11.   Sebutan menggunakan dialek “Melayu Baku” bukannya “Melayu Riau” untuk memberikan kesan teaterikal dalam penyampaian.
12.   Andai faham 11 panduan di atas, gerakkan minda. Keluarkan singa dari dalam diri. Bermainlah dengan bunyi-bunyi dan gerak-gerak. Puaskan diri di pentas.

1.3.11

Mengapa Sajak ?

Mengapa sajak yang dipilih? Mengapa tidak perkara lain seperti debat, pidato atau seumpamanya. Biar saya rungkaikan. Begini...

Sajak sarat dengan emosi. Emosinya terpilih-pilih. Tiada yang sepertinya yang mampu menghantar setiap emosi dengan begitu berkesan.
Apa pula kepentingan emosi ? Begini....

Dalam pengucapan kita, audiens adalah manusia bukannya mangkuk atau beca. Manusia berperasaan bukan? Nah...di sini kuncinya. Ketidakcerdikan kita membaca perasaan manusia seringkali membuatkan kita nampak bodoh. Mudah bukan...

Di sini saya berikan sedikit panduan bagaimana untuk memesrai sajak.




Sajak perlu dihayati dan difahami dan perlu dibaca beberapa kali sehingga benar-benar difahami setiap patah dan baris yang ada. Setiap perkataan yang ditemui mengandungi makna yang boleh dihuraikan dengan panjang lebar. Si penyajak gemar menggunakan kata-kata yang paling ekonomis dengan makna yang luas. Maka itu, kita haruslah mula mentafsir dari tajuk hingga baris akhir dalam sajak. 

Di dalam sajak juga harus kita ketemu persoalan. Untuk mendapatkan persoalan, kita haruslah memberikan maksud keseluruhan sajak dari rangkap ke rangkap. Setiap rangkap mempunyai persoalannya tersendiri. Harus dimengerti bahawa persoalan-persoalan sajak ialah rumusan daripada kesemua rangkap sajak yang telah dihuraikan maksudnya. 

Dalam keadaan sedemikian, kita hendaklah memberi makna sebenar kepada setiap kata atau istilah yang digunakan oleh penyajak. Unsur-unsur simbolik hendaklah diselesaikan dengan makna yang sebenarnya. Dengan kata lain, kita sebenarnya cuba menyampaikan mesej dalam bentuk huraian biasa yang dipindahkan daripada satu sajak atau kata-kata yang ekonomis.

Memberi maksud atau menghuraikan sesuatu sajak itu adalah lebih mencabar berbanding memprosa. Memprosakan sajak itu mudah dan ramai yang dapat memprosakan sajak dengan baik. Namun, tidak ramai yang mampu untuk menghurai atau memberi maksud sajak dengan baik. Di sinilah ketinggian daya rasa seseorang akan teruji. Pengalaman intelek akan memudahkan prosa menghadam sajak.

Mudah bukan? Kuncinya, kesediaan untuk menerima sesuatu yang baru.

18.2.11

Copy and Paste



Ajoi mendengar ceramah motivasi dari motivator terkenal di Malaysia.
“Pengalaman paling hebat saya ialah tidur di pangkuan perempuan yang bukannya isteri saya.!”
Penonton terdiam dan terkesima
“Dia ialah ibu saya!”
Penonton semua bertepuk dan memuji-muji motivator tersebut.

Balik rumah, Ajoi cuba meniru teknik motivator tadi kepada isterinya
“Pengalaman paling hebat saya ialah tidur di pangkuan perempuan yang bukannya isteri saya.!”
Belum sempat Ajoi menyambung, isterinya dah melenting.
“Apa? Berani awak buat begitu ?!!!”
Ajoi terkejut dengan jerkahan isterinya, sehingga Ajoi terlupa sambungan ayat tersebut.
“Siapa!?” jerit isterinya lagi
Ajoi tersenyap blur sekejap..
“Siapa!?” jerit isterinya lagi
sehingga Ajoi menjawab…
“Ntah lupa la..!”

Moral : Jangan copy kalau tak pandai paste....

15.2.11

Apabila Khalayak Sudah Jemu



Khalayak selalunya berlaku jujur. Mereka tidak pernah berbohong. sebagai pengucap, kemahiran membaca isyarat daripada khalayak boleh membantu kita mengubah keadaan. Bahasa tubuh daripada khalayak perlu ditafsirkan sebaik-baiknya. Antara tafsiran-tafsirannya ialah :

1. Menggaru-garu kepala : bingung atau ragu-ragu dan rasa tidak percaya.

2. Menurunkan dagu (tunduk kepala) : kecil hati, membela diri atau terasa diri dikritik

3. Meninggikan kening : rasa terkejut atau tidak yakin

4. Bernafas cepat : bingung atau menahan perasaan terpendam untuk diluahkan

5. Menggigit bibir : gelisah, gugup, atau memerlukan jawapan atau penyelesaian

6. Mengangguk kepala : berminat mendengar atau tertarik dengan apa yang diperkatakan

7. Bersandar ke belakang : kurang berminat, berfikir atau tidak mahu terlibat

8. Berpeluk tubuh : meihat-lihat perkara selanjutnya, tidak mahu turut serta dalam perbincangan

9.Asyik melihat jam tangan : tidak berminat dan mencari idea untuk mengelak

10. Menggaru belakang kepala atau leher : tidak sabar, berasa bosan, dan berharap untuk beralih mendengar topik lain

11.Mengecilkan mata : berfikir bagi membuat keputusan dalam perbincangan

12. Menahan nafas tiba-tiba : ingin menyatakan sesuatu.

4.2.11

Pantun Majlis





Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara;
Assalammualaikum mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara.

Ingin rasa memakan kari,
Kari cendawan batang keladi;
Girang rasa tidak terperi,
Bertemu tuan yang baik budi.

Mencari timba si anak dara,
Di bawah sarang burung tempua;
Salam sembah pembuka bicara,
Selamat datang untuk semua.

Sayang kumbang mencari makan,
Terbang seiring di tepi kali;
Selamat datang kami ucapkan,
Moga diiring restu Ilahi.

Ke Pekan Kuala membeli bingka,
Sayang pesanan terlupa sudah;
Majlis bermula tirai dibuka,
Dengan alunan madah yang indah.

Indah berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara;
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.

Mega berarak indah berbalam,
Dipuput bayu ke pohon ara;
Pemanis kalam selamat malam,
Awal bismillah pembuka bicara.

PANTUN BACAAN DOA

Kalau pergi Tanjung Keramat,
Anak manis jangan diangkat;
Bersama kita memohon rahmat,
Moga majlis mendapat berkat.

Tetak buluh kajang sepuluh,
Laksana dititing kias ibarat;
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa di pohon biar selamat.

Garam ada kicap pun ada,
Sayang lada terlupa bagi;
Pantun ada ucapan ada,
Sayang tiada berdoa lagi.

Lebat kemiri pohonnya rendah,
Dahan terikat tali perkasa;
Sepuluh jari kami menadah,
Mohon berkat yang Maha Esa.

Tetak buluh kajang sepuluh,
Mari jolok sarang penyengat;
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa di pohon biar selamat.

PANTUN JEMPUT MAKAN

Lebat rumbia di Sungai Kedah,
Sayang senduduk di tepi muara;
Penganan mulia terletak sudah,
Samalah duduk menjamu selera.

Terbang sekawan si burung merbuk,
Batang selasih di Tanjung Dara;
Padamu tuan kami persembah,
Santapan kasih juadah mesra.

Kalau tuan pikat cemara,
Buatlah bara bakar selasih;
Sudilah tuan jamu selera,
Hidangan mesra pengikat kasih.

Sungguh indah bunga kemboja,
Di bawah atap tepi halaman;
Juadah sudah letak di meja,
Sudilah santap tuan budiman.

PANTUN UCAPAN ALU-ALUAN

Bukan rumput sebarang rumpun,
Rumput penghias tepi halaman;
Bukan jemput sebarang jemput,
Jemput memohon kata aluan.

Duduk sekawan gadis jelita,
Buat santapan untuk pahlawan;
Tampillah tuan kami meminta,
Madah ucapan kata aluan.

Sudilah tuan jalan berlapan,
Jalan berlapan di malam kelam;
Sudilah tuan beri ucapan,
Kata aluan pemanis kalam.

Emas tempawan buatmu puteri,
Busana indah buat rupawan;
Sudilah tuan tampilkan diri,
Bersama madah kata aluan.

PANTUN JEMPUTAN UCAPAN

Terbang di awan burung jentayu,
Di atas papan batang selisih;
Tampillah tuan kami merayu,
Bersama ucapan pengikat kasih.

Besar langit di tepi busut,
Besar tak muat di dalam peti;
Besar hajat kami menjemput,
Besar niat di dalam hati.

Duduk sekawan si burung unta,
Tepi keramat di waktu malam;
Pada mu tuan kami meminta,
Kata azimat penutup kalam.

Terbang di awan burung jentayu,
Kerana penat gugur ke bumi;
Tampillah tuan kami merayu,
Bersama amanat bekalan kami.

Pergi ke kota beli selasih,
Sayang si dara buat halwa;
Berilah kata simpulan kasih,
Sulamkan mesra satukan jiwa.

PANTUN UCAPAN PERASMIAN

Terbang di awan burung jentayu,
Di atas papan batang jerami;
Tampillah tuan kami merayu,
Bersama ucapan kata perasmi.

Daun semulur di pekan sari,
Batang jerami rebah ke bumi;
Madah dihulur sembah diberi,
Kata perasmi hajatnya kami.

Jangan tertawan alpa duniawi,
Hanya indah serupa mimpi;
Duhai pahlawan ksatria pertiwi,
Hulurkan madah kata perasmi.

Kalau tuan pikat kenari,
Jangan patahkan batang jerami;
Kepada tuan sembah diberi,
Mohon rasmikan majlis kami.

PANTUN DI AKHIR MAJLIS

Banyak keluk ke penarik,
Keluk tumbuh pohon kuini;
Nan elok bawalah balik,
Nan tak elok tinggallah di sini.

Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita;
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.

Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara;
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan negara.

Di atas dahan burung tempua,
Melihat rusa tepi perigi;
Salam perpisahan untuk semua,
Dilain masa bersua lagi.

Bunga seroja di atas para,
Jatuh ditimpa buah berangan;
Andai kata tersilap bicara,
Kemaafan jua kami pohonkan.

Dari Rokan ke Indragiri,
Membawa tinta ke Kuala Linggi;
Baliklah tuan rehatkan diri,
Esok kita bersua lagi.

Dari Kedah ke pekan sari,
Beli suasa di Kota Tinggi;
Selesai sudah tugas diberi,
Di lain masa bersua lagi.

PANTUN BUAT WARGA EMAS

Bulan purnama ke pekan Kuah,
Di tengah hari membeli ragi;
Dirimu umpama nyiur bertuah,
Padat sari harum mewangi.

Curah serbat di atas lantai,
Basah tikar lupa disidai;
Dikau ibarat karang di pantai,
Tak pernah gentar dipukul badai.

Pohon sena tepi perigi,
Tepi paya si pohon jambu;
Hadirmu laksana suria pagi,
Menyinar maya tak pernah jemu.

Anak dara ke Tanjung Batu,
Janji bertemu di Teluk Bayu;
Walau usia dimamah waktu,
Cekal hatimu tak pernah layu.

Bukan gua sebarang gua,
Gua penuh pusaka bonda;
Bukan tua sebarang tua,
Tua penuh ilmu di dada.

Pergi ke Nilai membeli jamu,
Jamu rasa dari tenggara;
Tidak ternilai jasa baktimu,
Kepada bangsa juga negara.

Tidak goyah pancang seribu,
Tika masih badai menderu;
Engkau ayah engkaulah ibu,
Menumpang kasih mengubat rindu.

Pohon beringin tepi keramat,
Dengar siulan diufuk barat;
Kalau ingin hidup selamat,
Buat bekalan untuk akhirat.

Beli keladi di Pekan Lidup,
Sayang rasa lemaknya kurang;
Taburlah budi ketika hidup,
Kelak jasa dikenang orang.

Pintal kapas menjadi benang,
Tenun benang menjadi sari;
Barang yang lepas jangan dikenang,
Kalau dikenang meracun diri.

Pohon senduduk baru di tanam,
Sayang mati di pijak pak tani;
Dari duduk baik bersenam,
Senang hati sihat jasmani.

Apa guna siparang panjang,
Kalau tidak dengan tujuan;
Apa guna berumur panjang,
Kalau tidak dengan amalan.

Timba suasa ditepi kali,
Buat menyimbah si tuan puteri;
Berputus asa jangan sekali,
Jadikan tabah pakaian diri.

Betik muda buat halwa,
Kelapa muda santan dirasa;
Biar muda di dalam jiwa,
Dari tua sebelum masa. 

2.2.11

Bahasa Badan



Selain hubungan mata, kedudukan atau posture badan amat penting. Sudah tentu kita tidak akan beroleh keyakinan dengan penutur bertubuh longlai atau condong bagai mahu rebah ke bumi. Kedudukan badan yang tepat bukan sahaja membantu meningkatkan keyakinan pendengar, malah menambahkan kekuatan vokal melalui aliran udara tanpa sekatan pada bahagian abdomen.

Bentuk T
Posture badan yang betul ialah tegak dengan kedudukan bahu separas. Atau dengan cara mudah, kita berdiri dengan tulang belakang dan kedudukan bahu membentuk hurut T.
Bentuk T ini akan ‘patah’ apabila kita membongkok, menekan meja, atau melayah. Kekuatan vokal berkurang dan kita kelihatan ‘lemah’.

Tangan
Tidak boleh dinafikan, tangan merupakan jentera utama selain suara, wajah, dan tubuh. Tangan biasanya bergerak menggayakan makna atau mesej yang disampaikan Pengucap yang baik biasanya memanipulasi gerakan tangan secara reaktif namun terkawal. Tidak perlu menghayun tangan ke depan dan ke belakang.
Atau menggayakan tiap patah perkataan terletus dari bibir, atau memusarkan kedua-dua tapak tangan sambil bahu terangkat dan suara diteran. Gerakan tangan perlu diikhlas dan tidak boleh dibuat-buat atau direncana. Kalau angka satu disebut, maka satulah jari terbit menuding. Tambah indah langkah dan hujah. Gerak tangan menjadikan kita tampak selesa dan yakin

Menghadap

Badan mesti bergerak, dipusingkan dan dihadapkan pada lokasi tepat, dengan bersahaja.Henjutan atau ayunan kecil yang dirasakan sesuai boleh dilakukan untuk menggambarkan ketegasan isu. Terpulang. Guna rasional akal: logik atau tidak gerakan badan ini dilakukan.Jangan keterlaluan. Tidak perlu beraksi lebih atau menggelinjang. Semuanya mesti terkawal. Sebatian bahasa badan yang baik akan menzahirkan satu lukisan ide indah, mudah.

Penyampaian Berkesan



Kebanyakan orang mungkin menyangka kandungan teks ucapan ialah faktor terpenting dalam memastikan sesuatu penyampaian berjaya. Dua individu mungkin menyampaikan teks yang sama tetapi cara penyampaian yang berbeza telah meletakkan satu ucapan itu pada tahap yang lebih baik daripada yang satu lagi.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘penyampaian’ ?



1. Mulakan dengan sesuatu yang menarik perhatian penonton
Walaupun anda kurang bersedia dari segi penyediaan teks, anda masih boleh menyampaikan sesuatu mesej dengan baik sekiranya berpengetahuan dalam topik tersebut. Namun, pada permulaan ucapan, pengenalan yang diberikan haruslah cukup menarik untuk melakar imej yang positif terhadap diri anda.


2. Pastikan penyampaian anda penuh bertenaga
Seperti yang telah disarankan sebelum ini, variasi suara amat penting. Pastikan kelajuan suara anda perlahan apabila memperkatakan sesuatu yang agak dramatik dan pastikan anda membayangkan keceriaan apabila menceritakan perkara yang menggembirakan. Jangan lupa untuk berhenti apabila perlu.
Jangan hanya berdiri kaku di belakang rostrum tetapi berjalan ke hadapan apabila anda ingin menarik perhatian penonton dan berikan deskripsi dengan pergerakan tangan dan mimik muka anda. Pastikan setiap pergerakan mempunyai matlamat. Jangan mundar-mandir tanpa hala tuju kerana lambat laun penonton akan bosan. Sebelum membuat ucapan, pastikan anda mendapat rehat yang secukupnya beberapa jam sebelum masa yang dijadualkan. Mental dan fizikal yang cukup rehat sangat penting untuk mengelakkan rasa gugup. Anda juga harus memberikan perhatian pada perut anda. Jangan sekali-kali makan berlebihan kerana apabila perut terlalu kenyang, anda pula terpaksa berdiri untuk menyampaikan ucapan, peraliran darah akan tertumpu ke bahagian perut. Akibatnya, peraliran darah ke otak akan berkurangan dan hal ini menyebabkan anda lesu dan tidak boleh berfikir dengan baik.


3. Pastikan ucapan anda sistematik
Anda tidak perlu memerah otak untuk mencari idea yang banyak untuk membuat sesuatu pembentangan. Memadai dengan dua atau tiga idea yang baik. Susun idea berikut mengikut kepentingan dan sediakan fakta sokongan seperti contoh, definasi, testimonial atau statistik. Alat bantuan visual juga boleh disertakan sebagai daya tarikan yang sesuai.

4. Sertakan perkataan yang menunjukkan turutan
Perkataan-perkataan seperti "Pertama," "Kedua," atau "Akhir sekali," boleh menjadi petunjuk yang sistematik kepada penonton mengenai struktur ucapan anda. Hal ini boleh membantu mereka untuk mengikuti perjalanan ucapan anda.Perkataan-perkataan ini juga boleh membezakan pengenalan, isi dan penutup ucapan anda secara keseluruhannya. Dengan ini, ucapan anda akan lebih sistematik dan penonton dapat memahami objektif ucapan yang disampaikan dengan mudah.

5. Ceritakan pengalaman anda
Teknik ini berkesan apabila anda membuat pembentangan terutama sekali dalam bidang teknikal. Lazimnya, bidang teknikal tidak begitu mudah untuk difahami, kecuali semua hadirin yang ada merupakan orang yang bekerja atau belajar dalam bidang ini. Untuk memudahkan pemahaman, anda boleh menceritakan pengalaman anda sendiri dengan bahasa yang mudah.

Berdasarkan pengalaman yang dilalui, anda mampu mengaitkan pendengar secara emosi dengan fakta yang anda ceritakan. Hanya pengalaman peribadi dapat mencapai impak sedemikian.

Apabila anda bercerita, ikutlah kronologi kejadian dengan memasukkan maklumat seperti orang yang terlibat, perkara yang terjadi, masa, sebab dan tempat. Jika anda menggunakan panduan ini, cerita anda tidak akan kekurangan fakta yang diperlukan untuk pemahaman.

Latihan Mengatasi Malu di Depan Khalayak



Bayangkan, anda sedang berdiri di dalam sebuah dewan, di depan beratus-ratus orang. Semua orang di dewan itu sedang memerhatikan anda. Suasana agak sunyi kerana semua orang sedang menunggu anda sedang bercakap.

Adakah anda rasa lutut anda lemah? Adakah anda rasa perut anda memulas? Adakah anda rasa jari anda mula menggeletar?

Cari cermin besar. Perhatikan diri anda di dalam cermin. Bagaimana rasanya? Malu? Kalau anda malu dengan diri sendiri, bagaimana anda mahu berada di depan khalayak. Bermain dengan cermin. Maksud saya, buat pelbagai mimik muka. Masukkan suara. Ulang latihan ini berulang-ulang kali sehingga anda sudah mesra dengan diri sendiri.

14.1.11

Panduan Deklamasi Sajak

Panduan berikut boleh digunapakai untuk memudahkan kita mengenalpasti aspek mana yang perlu ditekankan dalam seni deklamasi sajak. Mungkin bukan untuk pertandingan, boleh saja kita gunapakai untuk acara santai.



1. Vokal – 15%

Suara : bagi deklamasi puisi kemerdekaan suara memainkan peranan yang penting. Ini adalah untuk menaikkan semangat patriotik di kalangan audian. Calon mesti memastikan mempunyai suara yang besar, lantang, parau. Keseluruhan markah ditentukan oleh kesesuaian suara bagi puisi jenis ini.

2. Intonasi – 15%

Turun naik suara. Peserta dapat mengawal tinggi rendah/panjang pendek suara berdasarkan maksud puisi. Kebolehan dan kecerdikan peserta mengawal intonasi menentukan markah baik atau sebaliknya. Kebolehan menggunakan jeda, patah-patah kata, hentian yang betul diambilkira.

3. Nada – 15%

Bunyi suara yang melahirkan atau membayangkan sesuatu perasaan, sikap, aliran atau rentak puisi. Nada dalam deklamasi mengikut ‘mood’ sesebuah puisi. Peserta yang dapat mengikut mood dan nada bagi setiap baris, bait atau rangkap mampu memperolehi markah yang tinggi.

4. Kelancaran/Artikulasi – 15%
Kelancaran bererti peserta dapat mendeklamasi dengan lancar tanpa tersekat-sekat atau terhenti atau terlupa. Sekiranya peserta tertinggal lebih dua perkataan, markah bagi bahagian ini akan kurang kerana ia mungkin mengubah maksud puisi tersebut. Artikulasi bererti dapat menyebut bunyi atau kata dengan jelas. Sebutan dapat difahami dan menggunakan sebutan bahasa Melayu baku.

5. Mimik Muka – 10%

Peserta berjaya meniru, mengajuk gaya, cara setiap sifat dan perasaan dalam puisi. Contoh: Kalau terdapat perkataan yang membawa maksud marah, sudah pasti peserta memperlihatkan wajah yang marah bukannya tersenyum. Mimik muka amat penting bagi peserta berkomunikasi dengan audian untuk menyatakan maksud puisi.

6. Penghayatan – 10%

Peserta dapat mengalami dan merasai dalam batin, mengalami dan merasai, meresap ke dalam jiwa. Kesimpulannya peserta mesti berada dalam puisi tersebut. Penghayatan dapat dirasai oleh audian dari keseluruhan deklamasi.

7. Bahasa Tubuh/Gesture – 10%

Penggunaan anggota badan bagi menyokong, menguatkan lagi maksud kata, bait dalam deklamasi. Penggunaan anggota yang betul, tepat amat penting bagi menarik minat audien.

Contoh: Ayuh, mari kita bestarikan tanah hitam putih tanah hadhari milik kita yang pasti. Mungkin penggunaan tangan sebagai bahasa badan untuk melambangkan tanah air. Kalau tangan menunjuk ke langit adalah salah tetapi kalau tangan menujuk ke bawah atau mendasar adalah tepat. Oleh itu peserta mesti berhati-hati.


8. Penampilan – 10%

Penampilan diri sebenar amat penting selain daripada kostum, alat bantu (Kalau ada) sesuai, cara deklamasi, berdiri dan bergerak juga amat penting.

Hakim ada mengambil kira seawal langkah pertama peserta berjalan dipentas. Di sini disiplin pentas, disiplin diri, pengawalan pentas dan pengawalan pembesar suara dianggap penting. 

oleh Muhammad Salleh Rahamad (UM)