1.3.11

Mengapa Sajak ?

Mengapa sajak yang dipilih? Mengapa tidak perkara lain seperti debat, pidato atau seumpamanya. Biar saya rungkaikan. Begini...

Sajak sarat dengan emosi. Emosinya terpilih-pilih. Tiada yang sepertinya yang mampu menghantar setiap emosi dengan begitu berkesan.
Apa pula kepentingan emosi ? Begini....

Dalam pengucapan kita, audiens adalah manusia bukannya mangkuk atau beca. Manusia berperasaan bukan? Nah...di sini kuncinya. Ketidakcerdikan kita membaca perasaan manusia seringkali membuatkan kita nampak bodoh. Mudah bukan...

Di sini saya berikan sedikit panduan bagaimana untuk memesrai sajak.




Sajak perlu dihayati dan difahami dan perlu dibaca beberapa kali sehingga benar-benar difahami setiap patah dan baris yang ada. Setiap perkataan yang ditemui mengandungi makna yang boleh dihuraikan dengan panjang lebar. Si penyajak gemar menggunakan kata-kata yang paling ekonomis dengan makna yang luas. Maka itu, kita haruslah mula mentafsir dari tajuk hingga baris akhir dalam sajak. 

Di dalam sajak juga harus kita ketemu persoalan. Untuk mendapatkan persoalan, kita haruslah memberikan maksud keseluruhan sajak dari rangkap ke rangkap. Setiap rangkap mempunyai persoalannya tersendiri. Harus dimengerti bahawa persoalan-persoalan sajak ialah rumusan daripada kesemua rangkap sajak yang telah dihuraikan maksudnya. 

Dalam keadaan sedemikian, kita hendaklah memberi makna sebenar kepada setiap kata atau istilah yang digunakan oleh penyajak. Unsur-unsur simbolik hendaklah diselesaikan dengan makna yang sebenarnya. Dengan kata lain, kita sebenarnya cuba menyampaikan mesej dalam bentuk huraian biasa yang dipindahkan daripada satu sajak atau kata-kata yang ekonomis.

Memberi maksud atau menghuraikan sesuatu sajak itu adalah lebih mencabar berbanding memprosa. Memprosakan sajak itu mudah dan ramai yang dapat memprosakan sajak dengan baik. Namun, tidak ramai yang mampu untuk menghurai atau memberi maksud sajak dengan baik. Di sinilah ketinggian daya rasa seseorang akan teruji. Pengalaman intelek akan memudahkan prosa menghadam sajak.

Mudah bukan? Kuncinya, kesediaan untuk menerima sesuatu yang baru.

Tiada ulasan: