27.9.11

Etika Berpakaian

Walaupun  hanya sebagai pengacara sebaik-baiknya kita juga perlu memahami  protokol dan etiket majlis supaya memudahkan tugasan kita sebagai pengacara. Di bawah ini saya kongsikan sedikit tatacara protokol dan etiket majlis.

ETIKA BERPAKAIAN


Ketika mengacarakan sesuatu majlis rasmi, elakkan daripada memakai pakaian yang berwarna seperti oren, merah, serta hijau terutamanya di siang hari (bagi lelaki). Ini kerana pakaian tersebut tidak dianggap sesuai ketika berada di majlis rasmi atas sebab faktor warna baju tersebut yang dianggap terlalu cerah. Bagi aksesori pula, seeloknya memakai sebanyak 3 jenis aksesori (lelaki) serta 4 jenis aksesori (wanita). Namun jika kita mahukan perhatian, pakailah warna-warna yang saya sebutkan di atas. Mengalahkan artis pujaan Malaya pula. Bayangkan si lelaki berbaju kuning dengan tali leher hijau dipadankan dengan seluar berwarna kelabu! Seeloknya berseluar slack hitam dengan kemeja lengan panjang putih dan bertali leher.

Contoh pakaian yang sesuai sebagai pengacara

Aksesori bagi lelaki termasuklah cincin (pakai di jari tangan kanan), jam tangan (pakai di tangan kiri) serta pen (diletakkan di dalam poket blazer anda). Pen tersebut sebolehnya yang berjenama mahal bukan setakat Kilometrico berharga lapan kupang sahaja yang boleh menampakkan ketrampilan diri anda ketika berjumpa dengan pelbagai jenis VIP ketika di dalam majlis rasmi. 

Bagi wanita pula, seeloknya memakai cincin di jari tangan kiri (bagi yang sudah berkahwin), jam tangan di sebelah kiri, gelang tangan, serta "brooch" tudung (maksimum 2 sahaja). Ini dianggap aksesori paling sesuai yang perlu anda pakai ketika menghadiri majlis rasmi. Bagi penggunaan beg tangan pula, penggunaanya adalah berbeza bergantung kepada situasi samaada anda menggunakannya untuk kegunaan harian, atau majlis rasmi. Bagi yang bertudung cukuplah sekadar tudung yang biasa digunakan oleh kebanyakan wanita. Tidak usah sampai anda digelar badut bertudung. Biarlah Yuna sahaja membelit kepalanya dengan pelbagai fesyen yang kadang-kadang memeningkan kepala melihatnya.

Itulah serba ringkas yang boleh saya kongsikan berkaitan dengan etika berpakaian seorang pengacara majlis. Ingat ya, biar tetamu pulang dengan cerita positif tentang anda daripada mereka bercerita tentang tudung "bling-bling" anda yang menyilau mata.

Tiada ulasan: