26.9.14

Peranan Keluarga dalam pembentukan akhlak





Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, Yang dihormati (Nama Penceramah), Yang berusaha ( Nama pengurus program) selaku pengurus program dan sidang dewan yang dikasihi sekalian. Saya (nama sendiri) dari….. akan menyampaikan pengucapan awam yang bertajuk “ Peranan Keluarga dalam menangani masalah remaja”.


Sidang pendengar sekalian,

Institusi kekeluargaan merupakan satu ikatan yang berupaya membentuk akhlak anak-anak atau remaja. Goyahnya instititusi ini maka kucar-kacirlah kehidupan dan menyumbang kepada kerosakan akhlak terutamanya anak-anak remaja. Usia remaja merupakan usia kehidupan manusia yang penuh dengan pancaroba. Adalah menjadi cabaran kepada setiap keluarga untuk mengemudi zaman usia ini supaya tidak tersasar atau tersalah pilih jalan sehingga terjerumus ke lembah kebinasaan. Di zaman serba moden ini remaja atau anak-anak kita sering terdedah kepada gejala-gejala negatif antaranya pergaulan bebas, pengedaran dan penagihan dadah, meragut, mencuri, merompak, minum arak,seks bebas, berjudi dan pelbagai budaya yang ditegah oleh agama dan norma manusia.

Kebanyakan remaja dan anak-anak yang terjebak dalam gejala negatif ini terdiri daripada mereka yang kurang perhatian atau panduan daripada keluarga mereka atau mereka yang sememangnya mempunyai latar belakang keluarga yang rapuh kerana perceraian ibubapa , mereka yang terjebak dengan gejala negatif juga mungkin terdiri daripada keluarga yang senang, kaya ataupun berharta. Mereka tergolong dalam golongan anak-anak bermasalah kerana tiada siapa yang memberi panduan kepada mereka kerana ibubapa sibuk bekerja dan terlalu memberi kebabasan kepada anak-anak mereka.

Cuba kita renung sejenak, di manakah anak remaja kita ketika ini ? bagi yang mempunyai anak atau dimanakah abang-abang atau adik-adik remaja kita ? Seandainaya mereka sukar dikesan atau kita tidak mengetahui dengan siapa mereka berkawan, seandainya disko atau kelab malam destinasi mereka, melepak hobi mereka, sebenarnya kita juga merupa orang yang gagal dalam mendidik dan membimbing mereka.

Dalam menangani gejala sosial atau permasalahan anak-anak keluargalah yang perlu memainkan peranan atau orang yang berupaya memanipulasikan mereka berpandukan acuan agama kita, budaya kita dan cara hidup kita. Terdedah kepada media tanpa sempadan, terbolos oleh budaya songsang perlu ditangani bersama oleh institusi kekeluargaan. Keruntuhan institusi kekeluargaan menjadi punca utama kepada permasalahan anak-anak.

Ibubapa juga perlu mendalami ilmu untuk mendidik anak-anak, Ini kerana akhlak mereka bukan senang hendak dibentuk, kalau boleh bentuklah mereka sejak kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak tidak boleh telalu di kongkong kerana mungkin mereka akan memberontok, apabila memberontok mereka akan bertindak diluar kotak pemikiran kita contohnya lari dari rumah, membunuh diri, mencuri dan sebagainya.

Kita bukan lagi dizaman seusia nenek kita, dahulu anak anak berbudi bahasa, hormat orang tua dan pandai menjaga maruah mereka. Sebaliknya anak-anak sekarang memperlakukan diri mereka seperti sampah, hina dan jijik.

Sidang pendengar sekalian,

Sama-samalah kita mencari jalan penyelesaian ke atas permasalahan anak-anak zaman sekarang, saya ingin mengariskan kembali bagaimanakah kita dapat membentuk akhlak anak-anak kita antaranya :

Memperkasakankan institusi kekeluargaan dengan mewujudkan keluarga bahagia. 
Memahami kehendak anak-anak dan memberi panduan dan perhatian kepada mereka
Mengawal pergaulan dan mengawasi ancaman-ancaman negatif terhadap mereka.

Kalau tuan ke Tanjung Pura,
Jangan singgah di lubuk puaka.
Bersama kita mencari petua,
Keluarga pembentuk akhlak mulia,

Sekian Terima Kasih.

24.9.14

Tips Pengucapan daripada Dale Carnegie

Kenal penulis buku klasik How To Win Friends and Influence People, Dale Carnegie? Buku popular karya beliau sudah ada dalam versi Bahasa Malaysia dan ramai sudah mula baca karya beliau. Salah satu buku klasik beliau berjudul How To Develop Self Confidence & Influence People by Public Speaking, ada mengajar tentang cara meningkatkan keyakinan dan pengaruh ketika membuat pengucapan awam. Di sini saya kongsikan sedikit panduan daripada beliau.



·         Bersiap Sedia dan Buat Kerja Rumah – Membuat persiapan sebaiknya sebelum memulakan sebarang penguapan awam. Persiapan seperti apa yang kita nak sampaikan dari segi maklumat dan contoh berkaitan kalau ada. Dapatkan juga maklumat maklumat tambahan dari apa yang ingin kita ucapkan supaya kita tak ketandusan idea untuk penyediaan skrip, pembentangan dan sesi soal jawab (jika ada)
.
·         Sediakan Skrip – Skrip penting untuk aturan apa yang kita ingin cakapkan dari awal sehingga akhir pengucapan. Selain itu selitkan juga sedikit unsur humor di dalam persiapan kita supaya tak terlalu formal pengucapan tersebut. Pastikan punchline untuk setiap idea yang kita ingin tekankan

·         Mula hafal skrip – Penghafalan skrip pada pendapat den adalah suatu yang penting dalam penentuan penyusunan ayat dan kerangka pengucapan awam. Tapi jangan terlalu menghafal sehingga hilang passion untuk menyampaikan mesej pada pendengar.

·         Sentiasa Kemaskini Skrip – Menurut Dale Carnegie, Abraham Lincoln (Presiden Amarika pertama) adalah seorang public speaker yang hebat. Beliau sentiasa kemaskini skrip pengucapan awam beliau dan sentiasa menghafalnya.

·         Teruskan menghafal skrip – Setiap kali skrip dikemaskini, penghafalan perlu di buat dan diperjelaskan supaya kita tak terlupa point baru, dan tersasul mengutarakan point lama yang mungkin tidak berapa penting.

·         Jangan terlalu ikut Skrip Kalau Tak Boleh Ingat Skrip – Ketika sesi pengucapan awam, jangan terlalu nampak seperti kita cuba ingat skrip ketika kita sedang lupa skrip yang ditulis. Ketika inilah kerja rumah yang kita buat pada awal tadi berguna. Ketika inilah skrip yang kita kemaskini datang berguna, kerana dalam ingat tak ingat, kita pasti akan ingat apa yang kita ingin katakan.

·         Sediakan Flashcard (jika perlu) – Catat nota pendek dan penting di dalam flashcard. Tak perlu tulis nota panjang di flashcard, cukuplah sekadar beberapa point dan sentiasa pegang flashcard tersebut semasa pengucapan. Percaya atau tidak, dengan memegang sesuatu (seperti pen dan kertas), kadar nervous kita sedikit berkurangan.

·         Dapatkan satu role model – Role model yang dimaksudkan bukanlah model fashion ataupun artis. Maksudnya dapatkan seorang role dalam pengucapan awam, sebagai contoh Steve Jobs. Pernah lihat bagaimana beliau bentangkan produk baru keluaran syarikatnya? Keyakinannya membuatkan pengguna yakin dengan produk yang dikeluarkan syarikat beliau. Perhatikan gayanya, karisma, kelancaran pertuturan, dan keyakinan beliau. Selain dari itu, banyakkan melihat TED Talk di Youtube Channel. Salah satu talk yang menarik membentangkan idea mengenai technology kepada audience. Dari role role ini, kita boleh belajar bagaimana mereka dengan jayanya membuat pembentangan di hadapan semua orang.




·         Berkeyakinan – Keyakinan semestinya ada ketika kita sudah bersedia sepenuhnya untuk memulakan pengucapan. Yakin membuatkan orang yang mendengar yakin dan setuju dengan apa yang kita bahaskan walaupun mungkin apa yang kita katakan itu salah atau kurang tepat.

·         Tetapi Jangan Terlalu Yakin – Pada pendapat dan pengalaman den, jika kita terlalu yakin sebelum pengucapan, kita mungkin akan sedikit tecicir dan terlupa semasa pengucapan kita. Jadi pastikan kita yakin tetapi tidak terlalu 101% yakin.

·         Passion untuk menyampaikan – Individu yang bertanggungjawab untuk pengucapan awam bertindak seperti seorang penjual. Mestilah ada passion untuk sampaikan apa yang penting tentang produk (idea) kepada pendengar. Dan jangan lupa, interaksi dan humor dengan penonton jangan di tinggalkan. Jika hilang passion, semangat dan keyakinan tentu pudar. Pendengar sudah pasti akan mula menguap sebab tiada juga humor diselitkan.

·         Bersedia Sepenuhnya – Bersedia dari segi fizikal dan mental. Persediaan fizikal apabila kita menjaga sebaiknya kesihatan dan makanan kita. Jangan terlalu kenyang atau dalam keadaan lapar sebelum mulanya sesi pengucapan kita. Dari segi persediaan mental pula, jangan terbawa bawa masalah ke pentas pengucapan kita. Sebagai tambahan, banyakkan berdoa sebelum pengucapan awam. Jika ada malasah, tolak ke tepi dan fokus pada apa yang penting terlebih dahulu iaitu pengucapan kita.

·         Mulakan Ucapan Anda Dengan Lafaz Bismillah dan pada akhir pengucapan awam, ucaplah Alhamdulillah.


22.9.14

Gugup?



Kegugupan atau darah gemuruh adalah fenomena biasa yang dirasai oleh semua manusia yang normal. lanya adalah suatu perasaan serba tidak kena, resah-gelisah, rasa tidak senang dan gementar yang menghantui pemikiran orang yang berhadapan dengan audiensnya. Fenomena ini sarna dengan apa yang dirasai oleh ahli sukan yang hendak memulakan acara lumba lari ketika di garis permulaan atau seorang penyanyi yang mahu memulakan persernbahan.

Perasaan begini terutamanya bagi pengucap-pengucap baru yang kurang berpengalaman akan menjadikan mereka kehilangan puca, tidak dapat rnencari penyambung bicara, malah ada kalanya tidak dapat meneruskan persernbahan. Jelasnya, gejala kegugupan ini jika tidak ditangani dengan betul akan menggugat penyampaian maklumat antara pengucap dengan audiensnya.

Sebenarnya perasaan gugup ini adalah fenomena biasa. Kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat umpamanya menunjukkan bahawa majoriti responden yang terdiri dari para pekerja sektor awam memilih berucap di hadapan audiens sebagai perkara yang paling mereka takuti dalam hidup (Sila lihat Book Of Lists, David Wallechinsky et.al, 1978). Justeru itu, sesiapa yang gugup ketika hendak berucap, itu satu petanda yang baik. Ertinya, hal ini membawa maksud yang individu tersebut masih normal. Sebaliknya individu yang tidak gugup langsung walau sedikitpun sewaktu hendak berucap seharusnya khuatir. Mungkin ini petanda bahawa dia sudah tidak normal.

5.6.14

Panduan Menjaga Suara

Di bawah ini, saya telah menyenaraikan beberapa tips ringkas bagi seseorang yang ingin menjaga suaranya lebih – lebih lagi jika mereka ada seorang trainer atau penceramah.Terdapat beberapa tips yang dapat dipraktikkan oleh anda untuk menjaga kualiti suara anda seperti di bawah.
1.         Praktikan nada suara anda yang berbeza-beza dengan membaca petikan dari buku-buku kanak-kanak kerana yang jenis penceritaan begini membolehkan anda membuat percubaan kepelbagaian nada suara dengan meninggikan dan merendahkan suara anda.

2.        Sebelum anda berucap, jangan makan banyak atau minuman soda atau susu. Minuman berkarbonat akan menjadikan mulut yang kering dan produk tenusu boleh membuat anda rasa seperti anda perlu untuk mendehemkan tekak anda.

3.        Cuba latihan bernafas dengan dalam sebelum ucapan dan pembentangan anda. Pratikkan dengan menggunakan diafragma dalam perut anda supaya perut anda dapat mengeluarkan semua oksigen, tetapi jangan angkatkan kedua – dua bahu anda.

4.        Praktik ucapan anda dengan merekodkannya. Dengar untuk mengenal pasti jenis kualiti vokal anda perlu betulkan.

5.        Ubahkan tahap kenyaringan suara anda. Suara anda selalunya akan menjadi lebih tinggi atau nyaring apabila kita takut dan gugup, jadi amalkan senaman pernafasan untuk membantu menormalkan suara anda.

6.         Cuba bezakan nada dan tahap volume serta kadar kelajuan suara anda untuk menambah penekanan dan tarikan terhadap pengucapan anda.

7.       Memanaskan badan dengan meregangkan muka dan leher anda sebelum pembentangan.

8.        Gunakan frasa dengan betul untuk membantu anda memperbaiki gaya pengucapan anda.

9.        Jangan tamatkan ayat dengan meninggikan nada suara atau menjerit seperti anda ingin bertanyakan soalan.

10.      Sebutkan huruf dengan jelas, seperti b, d, t, dan k, terutamanya pada hujung perkataan. ini membantu anda  dengan gaya bicara anda.

11.      Jangan selalu minum  minuman bergas atau sejuk kerana air seperti ini akan membuatkan tekak anda sakit,  berkahak dan batuk.

12.      Jangan menghisap rokok. Elakkan merokok sebelum berucap atau selepas berucap. Ingat, rokok bukan ubat  yang boleh menyembuhkan kualiti suara anda. Rokok akan mengakibatkan tekak membengkak dan anda  sakit sehingga tidak boleh berucap.

Semoga tips yang ringkas di atas dapat menjaga kualiti suara anda agar ianya tidak pecah atau sakit setiap masa. Elakkan perkara yang tidak sepatutnya diamalkan dan lakukan latihan yang ringkas sebelum anda berucap.


22.5.14

Sajak Untuk Majlis Perpisahan Pengetua/Guru Besar

Selingkar kenangan bersama Tuan
Walau sedetik Cuma
Ianya amat mahal untuk dinilai
Ianya amat luas untuk diukur
Bicaramu tuan bak tinta di jiwa kami
Menguntum senyummu tuan, membunga di hati kami
Kau nyalakan kandil hakiki
Menyuluh arah haluan nan murni
Dengan tekad nan suci
Menggunung harapan cita kami
Kau tak lupa kukuhkan tiang seri pusaka
Buat sokong di kala rebah
Permaidani kasih kau hamparkan
Di sepanjang lantai usang
Kelak membunga mekar setaman

Walau sesekali walang terusik
Oleh dengkur dan dengus
Lara wargamu kausirami dengan benih-benih keimanan
Rangsangan jua dorongan kau salurkan
Moga zuriat bakat kami bisa membiak ligat
Dan membunting kejayaan
Teguranmu pasti membina kami
Ajarmu pasti kami tak lupa
Jasamu pasti kami abadikan
Tinta kami ini adalah titipan kasih buat Tuan
Bukan sekadar metafora dalam kuntuman sajak
Yang berpalut kiasan wacana 

Semoga Tautan Kasih kami akan kekal utuh menjadi Selingkar Kenangan pada Tuan
Selaut kasih, selangit kasturi, seharum setanggi, sejambak bunga terima kasih,
Titipan Kasih Buatmu Tuan Pengetua

Contoh Ucapan YDP PIBG

YDP PIBG Terima kasih pengacara majlis. Bismilla hirrahma nirahim. Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh. Yang Berhormat Tn Hj Mohammad Pehemi bin Yusof ADUN Kota Putera Yang Berbahagia, Tn. Hj Ab Halim bin Hj Hassan, Pegawai PPD Besut Yang Berbahagia Tn. Hj Wan Zahari bin Wan Ali, Pengetua SMKPNZ. Yang berusaha Haji Amlin, Timbalan Pengerusi PIBG, Ahli –ahli Jawatankuasa PIBG Guru-guru, para ibu bapa dan para pelajar yang saya hormati sekalian. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin-Nya dapat kita bersama-sama berkumpul dalam majlis yang mulia ini sempena Mesyuarat Agung PIBG SMKPNZ kali ke-8 tahun 2013. Pertama sekali, saya merakam ribuan terima kasih kepada YB kerana sudi hadir dalam majlis kita pada hari ini walaupun kita tahu YB amat sibuk dengan tugasan . Saya juga mengucapkan syabas dan terima kasih atas kehadiran tuan/puan, para ibu bapa yang menggambarkan kesungguhan dan komitmen kita dalam meningkatkan kecemerlangan anak-anak kita pada masa hadapan. 

YB / hadirin dan hadirat sekalian. 

Bunga selasih di tapak tangan, 
Dipetik orang harum mewangi, 
Segunung kasih kami taburkan.
Keprihatinan tuan dijunjungi tinggi. 

Alhamdulillah. Masa terus berlalu, tanpa kita sedar tahun ini, sekolah ini telah mencecah usia 10 tahun. Walaupun begitu, banyak kecemerlangan dan kejayaan yang telah pihak sekolah cipta sama ada dalam bidang akademik mahupun dalam bidang kokurikulum. Kejayaan dan kecemerlangan ini menggambarkan kejayaan usaha guru-guru di sekolah kita yang tidak pernah berasa putus asa dalam mendidik anak-anak kita. Kejayaan ini juga menggambarkan usaha dan doa kita serta kerjasama yang terjalin kukuh antara guru dan ibu bapa selama ini diberkati oleh Allah swt. Dalam usaha kita untuk menjana kecemerlangan ini, pihak PIBG menyokong segala usaha pihak sekolah mengadakan pelbagai aktiviti. Umpamanya, Program Temu Murni Pelajar PMR / SPM dan Program Motivasi dan Kemahiran Belajar. Pihak PIBG juga banyak memberi sumbangan dalam bentuk kewangan untuk pelbagai aktiviti kurikulum dan kokurikulum sekolah seperti Kem PMR dan SPM serta hadiah kecemerlangan untuk pelajar-pelajar yang berjaya. Pada hari ini juga kita berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada pelajar yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam PMR 2012 yang lalu, di samping sumbangan yang diberikan oleh pihak sekolah sendiri. Penghargaan seumpama ini diharapkan akan menjadi titik tolak, membakar semangat para pelajar untuk berusaha lebih gigih mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan awam seperti PMR dan SPM. Walau bagaimanapun, anak-anak sekalian janganlah kita berusaha belajar untuk Berjaya dengan cemerlang kerana mengharapkan penghargaan dan hadiah semata-mata. Belajarlah untuk mencapai kecemerlangan bagi mengubah hidup anak-anak pelajar dan juga keluarga pada masa hadapan kelak. 

YB / hadirin hadirat yang dimuliakan, 

Sumbangan yang PIBG berikan dalam menjayakan semua aktiviti ini adalah sebahagian besarnya daripada hasil sumbangan yang kita sumbangkan dalam tabung PIBG SMKPNZ. Untuk itu, maka saya menyeru kepada para ibu bapa agar tidak mengambil mudah atau sambil lewa dalam membuat bayaran tambahan (yang tuan-puan kenali sebagai yuran) supaya tabungan PIBG semakin bertambah untuk kita sama-sama terus menjana dan merancang pelbagai aktiviti yang menyumbang kepada kecemerlangan anak-anak kita juga. Tabungan PIBG tiada mempunyai sumber lain kecuali melalui sumbangan daripada pihak tuan-puan juga. Begitu juga, saya ingin menyeru kepada semua yang hadir hari ini agar kita sama-sama memberi sumbangan atau tuan-puan juga boleh berusaha berganding bahu bersama jawatankuasa pembinaan surau sekolah, untuk kita sama-sama mengumpul dana demi impian kita melihat sebuah surau atau yang dinamakan MASJID AL-ZAHIRIAH ini menjadi kenyataan. Supaya memberi keselesaan kepada anak-anak kita juga untuk menjalani ibadat solat. Malahan pada hemat saya, sekiranya surau ini sudah boleh digunakan, sudah tentu pihak sekolah boleh memperhebatkan lagi aktiviti kerohanian anak-anak kita supaya cahaya mata kita ini akan terus dalam limpah hidayahNYA. Malahan pada pandangan saya, aktiviti kerohanian akan lebih diperluaskan bukan sahaja melibatkan warga sekolah, malahan komuniti luar atau masyarakat setempat boleh turut terlibat dalam majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Ini menggambarkan bahawa keikhlasan, kerjasama kita semua untuk melihat anak-anak kita dan sekolah ini akan menempa kejayaan bukan sahaja di dunia malahan di akhirat kelak. Ibu bapa sekalian patut sedar dewasa ini pelbagai masalah gejala sosial semakin menular dalam kalangan anak-anak muda kita. Tanpa benteng kerohanian yang utuh, tidak mustahil anak-anak kita juga turut tergelincir dalam menongkah arus negatif ini. Pelbagai gaya dan pelbagai aksi sudah kita tontoni di kaca-kaca Televisyen. Mampukah kita berdepan dengan masalah ini jika anak-anak kita sebahagian daripadanya? Saya juga menyeru kepada para ibu bapa agar mengambil kesempatan dan juga ruang, malahan jangan sesekali melepaskan peluang sekiranya dihubungi oleh pihak sekolah untuk hadir ke sekolah bagi berbincang permasalahan anak-anak tuan-puan. Tutur kata dan tingkah laku anak-anak tuan-puan mungkin tidak sama semasa di rumah dan juga di sekolah, jadi amatlah wajar sekali seandainya kita memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak sekolah yang ternyata berusaha keras malah tulus ikhlas mahu membentuk anak-anak tuan-puan menjadi insan yang terbilang dari segi akademik jua sahsiah. Kecemerlangan sesebuah sekolah bukan sahaja bergantung kepada kepada hebatnya guru-guru mengajar, pakarnya pihak pentadbir mengurus sekolah, malahan perlu seiringan dengan kecemerlangan murid dari aspek akademik, sahsiah dan kokurikulum serta komitmen padu para ibu bapa dan komuniti setempat. Kita tidak boleh lepas tangan menyerahkan bulat-bulat urusan mendidik anak-anak kita kepada pihak sekolah semata-mata. Amat molek kiranya kita boleh duduk berbincang tanpa ada rasa sangsi antara kita. Jika pihak sekolah mengambil tahu segala tindak-tanduk anak-anak tuan-puan dari sekecil-kecil laku umpama tidak menyiapkan kerja sekolah, membawa kepada masalah ponteng kelas atau ponteng sekolah kepada sebesar-besar masalah, umpama gejala vandalisme atau merosakkan harta benda sekolah, pergaduhan sesama mereka malahan juga kes buli, serta cabul, itu menggambarkan kecaknaan guru-guru dan pihak sekolah terhadap anak-anak kita. Sewajarnya lah kita memberi kerjasama kepada guru-guru ini dan juga pihak sekolah. Kita juga harus mengelakkan sikap menunding jari sesama kita, tetapi patut mengambil jalan tengah penyelesaian secara bersama untuk kebaikan kita bersama juga.

YB / hadirin dan hadirat sekalian,

 Sempena dengan mesyuarat PIBG kali ini, marilah kita menggunakan pendekatan musyawarah jika timbul sebarang masalah atau salah faham sesama kita. Kita jadikan diri kita, guru-guru dan masyarakat setempat sebagai satu komuniti yang saling lengkap-melengkapi. Masalah disiplin dan tingkah laku anak-anak perlu kita tanganinya bersama. Masalah ponteng sekolah yakni tidak hadir ke sekolah mesti diambil tindakan segera. Jangan kita biarkan anak-anak kita tidak hadir tanpa sebab yang munasabah. Saya merasakan para guru akan merasakan bangga jika kita sebagai ibu bapa sentiasa mengambil berat dengan disiplin anak-anak kita di sekolah. Kita harus sedar, kecemerlangan seseorang pelajar ini amat bergantung kepada pendisiplinan mereka dalam menuntut ilmu. Mereka mesti disiplin dengan peraturan agama Islam. Mereka juga mesti berdisiplin dengan peraturan sekolah. Untuk ini, kita perlu mendampingi dan selalu bertanya khabar dengan guru tentang anak-anak kita. Jangan ambil tindakan melulu berdasarkan maklumat daripada anak-anak kita semata.-mata. Mungkin sikap mereka di rumah tidak sama dengan sikap mereka ketika di sekolah. Akhir kata, sebelum saya menutup ucapan ini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terutama kepada guru-guru dan ibu bapa atas kerjasama padu demi melihat kejayaan anak-anak pelajar semua. Terima kasih yang tidak terhingga saya kepada Yang Berhormat Tuan Hj Mohammad Pehimi bin Yusoff kerana sudi singgah kemari untuk merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SMK Permaisuri Nur Zahirah kali ke-10 tahun 2013. Saya tinggalkan tuan-puan dengan serangkap pantun buat renungan semua, semoga menjadi panduan dalam kita berusaha mendidik anak-anak kita menuju kecemerlangan akademik dan sahsiah.

Sampan kotak hilir mudik,
Dayung patah galah sebatang;
Ikhtiar tidak datang menggolek,
Akal tidak datang melayang .

 Sekian, terima kasih.

20.5.14

Perbezaan Jenis Ucapan


Spontan
• Temuan mata
• Ringkas
• Tiada persiapan
• Tidak terkawal isi dan retorik
• Gugup, gementar
•Pengalaman
•Catit/ hafal segera

Ekstemporanas
•Persiapan awal
•Temuan mata
•Berfokus
•Terkawal isi
•Guna bahasa badan yang aktif
• Bahasa tidak konsisten
•Guna nota, slaid, APD
•Berlatih awal

Manuskrip
• Persiapan awal
• Terkawal bahasa
• Terkawal isi
• Kurang temuan mata
• Kurang guna bahasa badan
• Tidak terkawal masa
• Guna APD
• Berlatih awal

Hafalan
•Persiapan awal
•Nyatakan apa yang dirancang sahaja;
•Berfokus
•Terlupa
•Jumud; terhad bahasa dan kandungan
• Berlatih awal

7.5.14

Pantun dalam Bahagian Pendahuluan Teks Ucapan

Saya perturunkan serangkap pantun dalam beberapa teks ucapan dan teks pengacaraan daripada peristiwa sebenar yang berlaku pada tarikh tertentu di institut ini. 

1. Majlis meraikan guru-guru dari Thailand pada 27 Ogos 2007:

Asam kundang si asam pauh,
Dua pohon ditanam berselang;
Kalian bertandang darilah jauh,
Moga gembira bukan kepalang.

2. Majlis perasmian Seminar Penyelidikan Zon Selatan, 10 - 12 September 2007:

Cenderawasih terbang berkawan,
Hinggap lama di ranting berduri;
Terima kasih kepadamu tuan,
Sudi menerima undangan kami. 

3. Majlis perasmian Seminar Penyelidikan Zon Selatan, 10 -12 September 2007:

Pohon jelatang pohon berangan,
Pohon tinggi di tengah belantara;
Selamat datang tetamu undangan,
Kami di sini menyambut gembira.

4. Majlis perasmian Kursus Dalam Perkhidmatan 2 Minggu Media dalam Pendidikan
Islam bagi Guru-guru Tahiland:

Berkain batik berkain pelikat,
Baba Nyonya menyambut tamu; 
Kursus pendek menjadi singkat,
Tidak demikiannya dengan ilmu.

5. Majlis meraikan rombongan pelajar jurusan Bahasa Melayu dari Universiti 
Antarabangsa Beijing, 26 Ogos 2007:

Pohon pauh di tepi permatang,
Pohon nangka di hujung batas;
Dari jauh tuan puan datang,
Orang Melaka menyambut ikhlas.

Pantun dalam Bahagian Pendahuluan Teks Pengacaraan

Seperti dalam teks ucapan, pantun dalam teks pengacaraan juga berfungsi untuk menimbulkan tarikan kepada khalayak. Bahkan, pada hemat saya, keperluan menyelitkan puisi tradisional khususnya pantun dalam teks pengacaraan lebih dirasakan perlu. Lima contoh teks daripada majlis yang berlainan dipaparkan di sini.

6. Majlis penutupan rasmi Kem KIA 2M, 11 September 2008:

Itik angsa memakan nangka,
Makan sekali di tempat redup;
Hari Selasa majlis dibuka,
Hari ini majlis ditutup.

7-8. Majlis perasmian Kursus Kepimpinan Politik Bahagian Ledang, 13 Mei 2006:

Pokok kacang tidak berduri,
Berdaun lekuk si pokok peria;
Selamat datang pemimpin negeri,
Hadirnya Dato’ menambah ceria.

Ladang tebu di pinggir pekan,
Kebun durian di pinggir bendang; 
Sekalian tetamu sama meraikan,
Program latihan Bahagian Ledang.

9-10. Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penangguhan Sambutan Bulan Bahasa dan 
Sastera Negara peringkat IPPM, 29 September 2006: 

Pohon markisa di tanah tinggi,
Ditanam juga dengan akasia; 
Bulan Bahasa sempurna dirai,
Citra bangsa warga Malaysia.


Pohon rambutan ditanam sendiri,
Ditanam orang sentiasa dijaga;
Perhimpunan bulanan turut dirai,
Menyampai ucapan untuk warga.

11. Wacana Profesional Keguruan Anjuran Bersama Universiti Industri Selangor 
(UNISEL) dan Jabatan Pelajaran Melaka (JPM), 25 November 2006:

Rumah gadang cantik jendela,
Pintu dikunci dengan engsel;
Selamat datang kepada semua,
Ke majlis ilmu anjuran UNISEL.

12. Majlis Mesyuarat Pembukaan Audit Dalaman Bil. 2/ 2008, 1 April 2008:

Burung tukang terbang ke hutan,
Burung serindit hinggap di titi,
Selamat datang hadirin sekalian,
Untuk mengaudit institut kami.

Pantun dalam Bahagian Penutup Teks Ucapan

Bahagian penutup sesuatu ucapan juga perlu dititikberatkan kerana bahagian ini sama pentingnya dengan bahagian pembuka ucapan, iaitu harus meninggalkan kepuasan kepada khalayak. Untuk itu, pengucap disarankan mengakhiri ucapan dengan kata-kata hikmah, peribahasa, atau pantun (Zawiyah Mohammad Yusof, 2009). Pantun-pantun 13 – 19 ialah contoh pantun yang berkaitan. 

13-14. Majlis sambutan Hari Guru peringkat IPGKPM, 18 Mei 2009:

Pohon ru di hujung pekan,
Tumbuh dekat pinggir paya; 
Hari Guru bersama raikan,
Dengan tekad penuh ceria.

Pokok tebu di hujung laman,
Laman berbunga nampak selesa; 
Buat tetamu dan hadirin budiman,
Mari bersama membina bangsa.

15. Majlis sambutan Malam Ambang Merdeka dan Pelancaran Bulan Bahasa dan 
Sastera Negara peringkat IPPM, 30 Ogos 2007:

Pokok nangka sudah terbilang,
Kuning warna isinya lembut; 
Ambang merdeka kini menjelang,
Marilah kita bersama menyambut.

16-17. Majlis penutupan rasmi Kursus Pemimpin Muda Tahap Dua Kadet Pandu Puteri
KDPM Zon Selatan 2004:

Pulau Pangkor pantainya indah,
Tempat mandi segenap lapisan;
Aktiviti gerko membina sahsiah,
Sahsiah terpuji membentuk insan.


Tempat mandi segenap lapisan,
Pengunjung ceria aneka bangsa;
Sahsiah terpuji membentuk insan,
Insan mulia pendidik perkasa. 

18. Majlis meraikan rombongan pelajar jurusan Bahasa Melayu dari Universiti 
Antarabangsa Beijing, 26 Ogos 2007:

Pohon jering tanam di tanjung,
Sama tinggi si pohon kelapa;
Dari Beijing datang berkunjung,
Yang dicari sudahkah berjumpa?

19. Majlis perasmian pertandingan Debat Piala Munsyi Abdullah, 6 September 2007:

Beli pauh di pekan Kelian,
Mencari kuini sukar berjumpa;
Begitu jauh pulangnya kalian,
Kami di sini janganlah dilupa .

Pantun dalam Bahagian Penutup Teks Pengacaraan

20-21. Majlis perasmian pertandingan KAGUM Bahas Bahasa Melayu Zon Selatan, 24 – 
27 Julai 2006: 
Bunga kantan batik hiasan,
Bunga seroja penghias sarung;
Dua pasukan menguji kepetahan,
Di dalam dewan majlis bertarung.

Pohon langsat berbuah lebat ,
Ambil galah jolokkan hamba;
Begitu hangat orang berdebat,
Menang kalah adat berlumba.

22-23. Majlis Mesyuarat Pembukaan Audit Dalaman Bil. 2/ 2008, 1 April 2008:

Pokok pauh berbelas batang,
Di pinggir hutan di Tanjung Jara;
Dari jauh tuan/puan datang,
Kami raikan dengan gembira.

Pokok di taman tinggal ranting, 
Rantingnya lalu jatuh ke titi;
Audit Dalaman urusan penting,
Untuk memacu jaminan kualiti.

24. Majlis Pembukaan Rasmi Kursus Kepimpinan, 13 Mei 2006:

Pekan Kota di hujung negeri,
Pekan sejajar tempat bertemu;
Majlis kita cukup berseri,
Menteri Besar menjadi tetamu.

25. Majlis Mesyuarat Penutupan Audit Dalaman Bil. 2/2007, 4 September 2007:

Indah sekali pokok bonsai,
Rimbun sekata menambah seri;
Audit kualiti sudah selesai,
Tindakan kita memperbaiki diri.

26. Wacana Profesional Keguruan Anjuran Bersama Universiti Industri Selangor 
(UNISEL) dan Jabatan Pelajaran Melaka (JPM), 25 November 2006:

Tanah Rata tempatnya indah,
Hijaunya pohon saujana mata;
Majlis kita berakhirlah sudah,
Kemaafan dimohon tersilap kata.


sumber : Teks Ucapan dan Teks Pengacaraan: Folder Koleksi Peribadi Mohamad Musip.
Dibentangkan dalam Seminar Puisi Melayu Tradisional anjuran IPG Kampus Perempuan 
Melayu dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, pada 13 – 14 
April 2010 di IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka