22.5.14

Sajak Untuk Majlis Perpisahan Pengetua/Guru Besar

Selingkar kenangan bersama Tuan
Walau sedetik Cuma
Ianya amat mahal untuk dinilai
Ianya amat luas untuk diukur
Bicaramu tuan bak tinta di jiwa kami
Menguntum senyummu tuan, membunga di hati kami
Kau nyalakan kandil hakiki
Menyuluh arah haluan nan murni
Dengan tekad nan suci
Menggunung harapan cita kami
Kau tak lupa kukuhkan tiang seri pusaka
Buat sokong di kala rebah
Permaidani kasih kau hamparkan
Di sepanjang lantai usang
Kelak membunga mekar setaman

Walau sesekali walang terusik
Oleh dengkur dan dengus
Lara wargamu kausirami dengan benih-benih keimanan
Rangsangan jua dorongan kau salurkan
Moga zuriat bakat kami bisa membiak ligat
Dan membunting kejayaan
Teguranmu pasti membina kami
Ajarmu pasti kami tak lupa
Jasamu pasti kami abadikan
Tinta kami ini adalah titipan kasih buat Tuan
Bukan sekadar metafora dalam kuntuman sajak
Yang berpalut kiasan wacana 

Semoga Tautan Kasih kami akan kekal utuh menjadi Selingkar Kenangan pada Tuan
Selaut kasih, selangit kasturi, seharum setanggi, sejambak bunga terima kasih,
Titipan Kasih Buatmu Tuan Pengetua

Contoh Ucapan YDP PIBG

YDP PIBG Terima kasih pengacara majlis. Bismilla hirrahma nirahim. Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh. Yang Berhormat Tn Hj Mohammad Pehemi bin Yusof ADUN Kota Putera Yang Berbahagia, Tn. Hj Ab Halim bin Hj Hassan, Pegawai PPD Besut Yang Berbahagia Tn. Hj Wan Zahari bin Wan Ali, Pengetua SMKPNZ. Yang berusaha Haji Amlin, Timbalan Pengerusi PIBG, Ahli –ahli Jawatankuasa PIBG Guru-guru, para ibu bapa dan para pelajar yang saya hormati sekalian. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin-Nya dapat kita bersama-sama berkumpul dalam majlis yang mulia ini sempena Mesyuarat Agung PIBG SMKPNZ kali ke-8 tahun 2013. Pertama sekali, saya merakam ribuan terima kasih kepada YB kerana sudi hadir dalam majlis kita pada hari ini walaupun kita tahu YB amat sibuk dengan tugasan . Saya juga mengucapkan syabas dan terima kasih atas kehadiran tuan/puan, para ibu bapa yang menggambarkan kesungguhan dan komitmen kita dalam meningkatkan kecemerlangan anak-anak kita pada masa hadapan. 

YB / hadirin dan hadirat sekalian. 

Bunga selasih di tapak tangan, 
Dipetik orang harum mewangi, 
Segunung kasih kami taburkan.
Keprihatinan tuan dijunjungi tinggi. 

Alhamdulillah. Masa terus berlalu, tanpa kita sedar tahun ini, sekolah ini telah mencecah usia 10 tahun. Walaupun begitu, banyak kecemerlangan dan kejayaan yang telah pihak sekolah cipta sama ada dalam bidang akademik mahupun dalam bidang kokurikulum. Kejayaan dan kecemerlangan ini menggambarkan kejayaan usaha guru-guru di sekolah kita yang tidak pernah berasa putus asa dalam mendidik anak-anak kita. Kejayaan ini juga menggambarkan usaha dan doa kita serta kerjasama yang terjalin kukuh antara guru dan ibu bapa selama ini diberkati oleh Allah swt. Dalam usaha kita untuk menjana kecemerlangan ini, pihak PIBG menyokong segala usaha pihak sekolah mengadakan pelbagai aktiviti. Umpamanya, Program Temu Murni Pelajar PMR / SPM dan Program Motivasi dan Kemahiran Belajar. Pihak PIBG juga banyak memberi sumbangan dalam bentuk kewangan untuk pelbagai aktiviti kurikulum dan kokurikulum sekolah seperti Kem PMR dan SPM serta hadiah kecemerlangan untuk pelajar-pelajar yang berjaya. Pada hari ini juga kita berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada pelajar yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam PMR 2012 yang lalu, di samping sumbangan yang diberikan oleh pihak sekolah sendiri. Penghargaan seumpama ini diharapkan akan menjadi titik tolak, membakar semangat para pelajar untuk berusaha lebih gigih mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan awam seperti PMR dan SPM. Walau bagaimanapun, anak-anak sekalian janganlah kita berusaha belajar untuk Berjaya dengan cemerlang kerana mengharapkan penghargaan dan hadiah semata-mata. Belajarlah untuk mencapai kecemerlangan bagi mengubah hidup anak-anak pelajar dan juga keluarga pada masa hadapan kelak. 

YB / hadirin hadirat yang dimuliakan, 

Sumbangan yang PIBG berikan dalam menjayakan semua aktiviti ini adalah sebahagian besarnya daripada hasil sumbangan yang kita sumbangkan dalam tabung PIBG SMKPNZ. Untuk itu, maka saya menyeru kepada para ibu bapa agar tidak mengambil mudah atau sambil lewa dalam membuat bayaran tambahan (yang tuan-puan kenali sebagai yuran) supaya tabungan PIBG semakin bertambah untuk kita sama-sama terus menjana dan merancang pelbagai aktiviti yang menyumbang kepada kecemerlangan anak-anak kita juga. Tabungan PIBG tiada mempunyai sumber lain kecuali melalui sumbangan daripada pihak tuan-puan juga. Begitu juga, saya ingin menyeru kepada semua yang hadir hari ini agar kita sama-sama memberi sumbangan atau tuan-puan juga boleh berusaha berganding bahu bersama jawatankuasa pembinaan surau sekolah, untuk kita sama-sama mengumpul dana demi impian kita melihat sebuah surau atau yang dinamakan MASJID AL-ZAHIRIAH ini menjadi kenyataan. Supaya memberi keselesaan kepada anak-anak kita juga untuk menjalani ibadat solat. Malahan pada hemat saya, sekiranya surau ini sudah boleh digunakan, sudah tentu pihak sekolah boleh memperhebatkan lagi aktiviti kerohanian anak-anak kita supaya cahaya mata kita ini akan terus dalam limpah hidayahNYA. Malahan pada pandangan saya, aktiviti kerohanian akan lebih diperluaskan bukan sahaja melibatkan warga sekolah, malahan komuniti luar atau masyarakat setempat boleh turut terlibat dalam majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Ini menggambarkan bahawa keikhlasan, kerjasama kita semua untuk melihat anak-anak kita dan sekolah ini akan menempa kejayaan bukan sahaja di dunia malahan di akhirat kelak. Ibu bapa sekalian patut sedar dewasa ini pelbagai masalah gejala sosial semakin menular dalam kalangan anak-anak muda kita. Tanpa benteng kerohanian yang utuh, tidak mustahil anak-anak kita juga turut tergelincir dalam menongkah arus negatif ini. Pelbagai gaya dan pelbagai aksi sudah kita tontoni di kaca-kaca Televisyen. Mampukah kita berdepan dengan masalah ini jika anak-anak kita sebahagian daripadanya? Saya juga menyeru kepada para ibu bapa agar mengambil kesempatan dan juga ruang, malahan jangan sesekali melepaskan peluang sekiranya dihubungi oleh pihak sekolah untuk hadir ke sekolah bagi berbincang permasalahan anak-anak tuan-puan. Tutur kata dan tingkah laku anak-anak tuan-puan mungkin tidak sama semasa di rumah dan juga di sekolah, jadi amatlah wajar sekali seandainya kita memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak sekolah yang ternyata berusaha keras malah tulus ikhlas mahu membentuk anak-anak tuan-puan menjadi insan yang terbilang dari segi akademik jua sahsiah. Kecemerlangan sesebuah sekolah bukan sahaja bergantung kepada kepada hebatnya guru-guru mengajar, pakarnya pihak pentadbir mengurus sekolah, malahan perlu seiringan dengan kecemerlangan murid dari aspek akademik, sahsiah dan kokurikulum serta komitmen padu para ibu bapa dan komuniti setempat. Kita tidak boleh lepas tangan menyerahkan bulat-bulat urusan mendidik anak-anak kita kepada pihak sekolah semata-mata. Amat molek kiranya kita boleh duduk berbincang tanpa ada rasa sangsi antara kita. Jika pihak sekolah mengambil tahu segala tindak-tanduk anak-anak tuan-puan dari sekecil-kecil laku umpama tidak menyiapkan kerja sekolah, membawa kepada masalah ponteng kelas atau ponteng sekolah kepada sebesar-besar masalah, umpama gejala vandalisme atau merosakkan harta benda sekolah, pergaduhan sesama mereka malahan juga kes buli, serta cabul, itu menggambarkan kecaknaan guru-guru dan pihak sekolah terhadap anak-anak kita. Sewajarnya lah kita memberi kerjasama kepada guru-guru ini dan juga pihak sekolah. Kita juga harus mengelakkan sikap menunding jari sesama kita, tetapi patut mengambil jalan tengah penyelesaian secara bersama untuk kebaikan kita bersama juga.

YB / hadirin dan hadirat sekalian,

 Sempena dengan mesyuarat PIBG kali ini, marilah kita menggunakan pendekatan musyawarah jika timbul sebarang masalah atau salah faham sesama kita. Kita jadikan diri kita, guru-guru dan masyarakat setempat sebagai satu komuniti yang saling lengkap-melengkapi. Masalah disiplin dan tingkah laku anak-anak perlu kita tanganinya bersama. Masalah ponteng sekolah yakni tidak hadir ke sekolah mesti diambil tindakan segera. Jangan kita biarkan anak-anak kita tidak hadir tanpa sebab yang munasabah. Saya merasakan para guru akan merasakan bangga jika kita sebagai ibu bapa sentiasa mengambil berat dengan disiplin anak-anak kita di sekolah. Kita harus sedar, kecemerlangan seseorang pelajar ini amat bergantung kepada pendisiplinan mereka dalam menuntut ilmu. Mereka mesti disiplin dengan peraturan agama Islam. Mereka juga mesti berdisiplin dengan peraturan sekolah. Untuk ini, kita perlu mendampingi dan selalu bertanya khabar dengan guru tentang anak-anak kita. Jangan ambil tindakan melulu berdasarkan maklumat daripada anak-anak kita semata.-mata. Mungkin sikap mereka di rumah tidak sama dengan sikap mereka ketika di sekolah. Akhir kata, sebelum saya menutup ucapan ini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terutama kepada guru-guru dan ibu bapa atas kerjasama padu demi melihat kejayaan anak-anak pelajar semua. Terima kasih yang tidak terhingga saya kepada Yang Berhormat Tuan Hj Mohammad Pehimi bin Yusoff kerana sudi singgah kemari untuk merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SMK Permaisuri Nur Zahirah kali ke-10 tahun 2013. Saya tinggalkan tuan-puan dengan serangkap pantun buat renungan semua, semoga menjadi panduan dalam kita berusaha mendidik anak-anak kita menuju kecemerlangan akademik dan sahsiah.

Sampan kotak hilir mudik,
Dayung patah galah sebatang;
Ikhtiar tidak datang menggolek,
Akal tidak datang melayang .

 Sekian, terima kasih.

20.5.14

Perbezaan Jenis Ucapan


Spontan
• Temuan mata
• Ringkas
• Tiada persiapan
• Tidak terkawal isi dan retorik
• Gugup, gementar
•Pengalaman
•Catit/ hafal segera

Ekstemporanas
•Persiapan awal
•Temuan mata
•Berfokus
•Terkawal isi
•Guna bahasa badan yang aktif
• Bahasa tidak konsisten
•Guna nota, slaid, APD
•Berlatih awal

Manuskrip
• Persiapan awal
• Terkawal bahasa
• Terkawal isi
• Kurang temuan mata
• Kurang guna bahasa badan
• Tidak terkawal masa
• Guna APD
• Berlatih awal

Hafalan
•Persiapan awal
•Nyatakan apa yang dirancang sahaja;
•Berfokus
•Terlupa
•Jumud; terhad bahasa dan kandungan
• Berlatih awal

7.5.14

Pantun dalam Bahagian Pendahuluan Teks Ucapan

Saya perturunkan serangkap pantun dalam beberapa teks ucapan dan teks pengacaraan daripada peristiwa sebenar yang berlaku pada tarikh tertentu di institut ini. 

1. Majlis meraikan guru-guru dari Thailand pada 27 Ogos 2007:

Asam kundang si asam pauh,
Dua pohon ditanam berselang;
Kalian bertandang darilah jauh,
Moga gembira bukan kepalang.

2. Majlis perasmian Seminar Penyelidikan Zon Selatan, 10 - 12 September 2007:

Cenderawasih terbang berkawan,
Hinggap lama di ranting berduri;
Terima kasih kepadamu tuan,
Sudi menerima undangan kami. 

3. Majlis perasmian Seminar Penyelidikan Zon Selatan, 10 -12 September 2007:

Pohon jelatang pohon berangan,
Pohon tinggi di tengah belantara;
Selamat datang tetamu undangan,
Kami di sini menyambut gembira.

4. Majlis perasmian Kursus Dalam Perkhidmatan 2 Minggu Media dalam Pendidikan
Islam bagi Guru-guru Tahiland:

Berkain batik berkain pelikat,
Baba Nyonya menyambut tamu; 
Kursus pendek menjadi singkat,
Tidak demikiannya dengan ilmu.

5. Majlis meraikan rombongan pelajar jurusan Bahasa Melayu dari Universiti 
Antarabangsa Beijing, 26 Ogos 2007:

Pohon pauh di tepi permatang,
Pohon nangka di hujung batas;
Dari jauh tuan puan datang,
Orang Melaka menyambut ikhlas.

Pantun dalam Bahagian Pendahuluan Teks Pengacaraan

Seperti dalam teks ucapan, pantun dalam teks pengacaraan juga berfungsi untuk menimbulkan tarikan kepada khalayak. Bahkan, pada hemat saya, keperluan menyelitkan puisi tradisional khususnya pantun dalam teks pengacaraan lebih dirasakan perlu. Lima contoh teks daripada majlis yang berlainan dipaparkan di sini.

6. Majlis penutupan rasmi Kem KIA 2M, 11 September 2008:

Itik angsa memakan nangka,
Makan sekali di tempat redup;
Hari Selasa majlis dibuka,
Hari ini majlis ditutup.

7-8. Majlis perasmian Kursus Kepimpinan Politik Bahagian Ledang, 13 Mei 2006:

Pokok kacang tidak berduri,
Berdaun lekuk si pokok peria;
Selamat datang pemimpin negeri,
Hadirnya Dato’ menambah ceria.

Ladang tebu di pinggir pekan,
Kebun durian di pinggir bendang; 
Sekalian tetamu sama meraikan,
Program latihan Bahagian Ledang.

9-10. Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penangguhan Sambutan Bulan Bahasa dan 
Sastera Negara peringkat IPPM, 29 September 2006: 

Pohon markisa di tanah tinggi,
Ditanam juga dengan akasia; 
Bulan Bahasa sempurna dirai,
Citra bangsa warga Malaysia.


Pohon rambutan ditanam sendiri,
Ditanam orang sentiasa dijaga;
Perhimpunan bulanan turut dirai,
Menyampai ucapan untuk warga.

11. Wacana Profesional Keguruan Anjuran Bersama Universiti Industri Selangor 
(UNISEL) dan Jabatan Pelajaran Melaka (JPM), 25 November 2006:

Rumah gadang cantik jendela,
Pintu dikunci dengan engsel;
Selamat datang kepada semua,
Ke majlis ilmu anjuran UNISEL.

12. Majlis Mesyuarat Pembukaan Audit Dalaman Bil. 2/ 2008, 1 April 2008:

Burung tukang terbang ke hutan,
Burung serindit hinggap di titi,
Selamat datang hadirin sekalian,
Untuk mengaudit institut kami.

Pantun dalam Bahagian Penutup Teks Ucapan

Bahagian penutup sesuatu ucapan juga perlu dititikberatkan kerana bahagian ini sama pentingnya dengan bahagian pembuka ucapan, iaitu harus meninggalkan kepuasan kepada khalayak. Untuk itu, pengucap disarankan mengakhiri ucapan dengan kata-kata hikmah, peribahasa, atau pantun (Zawiyah Mohammad Yusof, 2009). Pantun-pantun 13 – 19 ialah contoh pantun yang berkaitan. 

13-14. Majlis sambutan Hari Guru peringkat IPGKPM, 18 Mei 2009:

Pohon ru di hujung pekan,
Tumbuh dekat pinggir paya; 
Hari Guru bersama raikan,
Dengan tekad penuh ceria.

Pokok tebu di hujung laman,
Laman berbunga nampak selesa; 
Buat tetamu dan hadirin budiman,
Mari bersama membina bangsa.

15. Majlis sambutan Malam Ambang Merdeka dan Pelancaran Bulan Bahasa dan 
Sastera Negara peringkat IPPM, 30 Ogos 2007:

Pokok nangka sudah terbilang,
Kuning warna isinya lembut; 
Ambang merdeka kini menjelang,
Marilah kita bersama menyambut.

16-17. Majlis penutupan rasmi Kursus Pemimpin Muda Tahap Dua Kadet Pandu Puteri
KDPM Zon Selatan 2004:

Pulau Pangkor pantainya indah,
Tempat mandi segenap lapisan;
Aktiviti gerko membina sahsiah,
Sahsiah terpuji membentuk insan.


Tempat mandi segenap lapisan,
Pengunjung ceria aneka bangsa;
Sahsiah terpuji membentuk insan,
Insan mulia pendidik perkasa. 

18. Majlis meraikan rombongan pelajar jurusan Bahasa Melayu dari Universiti 
Antarabangsa Beijing, 26 Ogos 2007:

Pohon jering tanam di tanjung,
Sama tinggi si pohon kelapa;
Dari Beijing datang berkunjung,
Yang dicari sudahkah berjumpa?

19. Majlis perasmian pertandingan Debat Piala Munsyi Abdullah, 6 September 2007:

Beli pauh di pekan Kelian,
Mencari kuini sukar berjumpa;
Begitu jauh pulangnya kalian,
Kami di sini janganlah dilupa .

Pantun dalam Bahagian Penutup Teks Pengacaraan

20-21. Majlis perasmian pertandingan KAGUM Bahas Bahasa Melayu Zon Selatan, 24 – 
27 Julai 2006: 
Bunga kantan batik hiasan,
Bunga seroja penghias sarung;
Dua pasukan menguji kepetahan,
Di dalam dewan majlis bertarung.

Pohon langsat berbuah lebat ,
Ambil galah jolokkan hamba;
Begitu hangat orang berdebat,
Menang kalah adat berlumba.

22-23. Majlis Mesyuarat Pembukaan Audit Dalaman Bil. 2/ 2008, 1 April 2008:

Pokok pauh berbelas batang,
Di pinggir hutan di Tanjung Jara;
Dari jauh tuan/puan datang,
Kami raikan dengan gembira.

Pokok di taman tinggal ranting, 
Rantingnya lalu jatuh ke titi;
Audit Dalaman urusan penting,
Untuk memacu jaminan kualiti.

24. Majlis Pembukaan Rasmi Kursus Kepimpinan, 13 Mei 2006:

Pekan Kota di hujung negeri,
Pekan sejajar tempat bertemu;
Majlis kita cukup berseri,
Menteri Besar menjadi tetamu.

25. Majlis Mesyuarat Penutupan Audit Dalaman Bil. 2/2007, 4 September 2007:

Indah sekali pokok bonsai,
Rimbun sekata menambah seri;
Audit kualiti sudah selesai,
Tindakan kita memperbaiki diri.

26. Wacana Profesional Keguruan Anjuran Bersama Universiti Industri Selangor 
(UNISEL) dan Jabatan Pelajaran Melaka (JPM), 25 November 2006:

Tanah Rata tempatnya indah,
Hijaunya pohon saujana mata;
Majlis kita berakhirlah sudah,
Kemaafan dimohon tersilap kata.


sumber : Teks Ucapan dan Teks Pengacaraan: Folder Koleksi Peribadi Mohamad Musip.
Dibentangkan dalam Seminar Puisi Melayu Tradisional anjuran IPG Kampus Perempuan 
Melayu dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, pada 13 – 14 
April 2010 di IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka

3.5.14

Panduan Menulis Teks Pengerusi Majlis

Kepentingan Teks Kepada Pengacara
  1. Sebagai panduan utama
  2. Mengelakkan kesilapan
  3. Turutan yang sempurna (salam, susunan protokol,permulaan majlis, isi majlis dan penutup)
  4. Pemilihan perkataan yang tepat dan sesuai
  5. Gaya bahasa yang indah dan mudah

Penyediaan Teks
  1. Kriteria teks mestilah
    1. Jelas
    2. Jarak yang sesuai
    3. Baik
    4. Mengikut protokol
    5. Berukuran separuh kertas A4
    6. Satu muka surat untuk satu pengumuman
    7. Nama majlis dicatatkan di atas dan di muka pertama sahaja

Format Penulisan Skrip Pengacaraan
1.       Tajuk Majlis
  1. Nama Majlis
  2. Nama Penganjur
  3. Tempat
  4. Tarikh
  5. Waktu


  1. Kandungan
    1. Pengumuman Ketibaan Tetamu Kehormat (VVIP)
    2. Pra aluan
    3. Sapaan/ salutasi
    4. Alu-aluan/ Salam Pembuka
    5. Bacaan Doa
    6. Pengenalan Latar Majlis
    7. Jemputan Ucapan
      1. Ucapan I
      2. Ucapan II
      3. Ucapan III
      4. Penyampaian Cenderamata

3.     Penutup
a.    Jemputan ke jamuan
b.    Pernyataan salam perpisahan

Kandungan Teks
  1. Nama Majlis
  2. Muka surat
  3. Bilangan pengumuman
  4. Panduan (cue)
  5. Masa +
  6. Pengumuman (ANN)


Format Teks Juruacara (Format INTAN)     
Majlis Perasmian SMK Paya Terubong                                                                    muka surat 1

MASA
CUE
ANN (1)
0900 +

Apabila VVIP berada berhampiran pintu masuk ke dalam dewan

Mengumumkan ketibaan Yang Berhormat Dato’ Hj. Abdul Rashid bin Abdullah, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

0903 +

Apabila semua VVIP, VIP dan hadirin duduk

Bismillahirahmanirrahim,
Memulakan bicara dengan puji-pujian bagi Allah ……