17.5.15

Cara Mendeklamasi Sajak

Pendeklamasi wajar meneliti kriteria-kriteria  yang berikut:

1.           Pemahaman
Pendeklamasi mesti benar-benar memahami dan dapat mentafsirkan maksud sajak yang hendak dideklamasikan.

2.           Peresapan
Sajak yang dideklamasikan mestilah sebati dengan diri pendeklamasi. Pendengar turut merasakannya.

3.           Pengucapan
Penyampaian mestilah jelas dan menyakinkan pendengar. Tidak terdapat gangguan di mana-mana.

3.1        Daya Hafal
Ingatan mesti baik. Pembacaan lancar dan licin.

3.2        Daya Ucapan
Semurni dan sebaik mungkin. Tidak terpengaruh akan bahasa daerah atau bahasa asing. Intonasi atau rentak/lagu kalimat ada kaitan.

3.3        Irama
Menjiwai dan menghidupkan pendeklamasian sajak. Serentak dengan ucapan dan intonasi.

3.4        Batas Kalimat
Perhentian suara. Tujuannya untuk mengucapkan pokok-pokok fikiran dalam sajak dengan jelas.

3.5        Memek
Harus timbul secara bersahaja dan spontan. Menjadi petunjuk sejauh mana sajak sudah menjiwai pendeklamasi.

3.6        Gerak-geri
Tidak diwajibkan. Harus sesuai dengan keadaan.

Bibliografi:

Hashim Awang, Teman Pelajar Kesusasteraan, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1984: Hlm. 78.

29.4.15

Melagukan Syair

Ciri utama penyampaian atau bacaan syair ialah ia dilagukan. Terdapat beberapa irama syair untuk dilagukan dalam bacaan antaraanya : Irama Selendang Delima, Irama Dandan Setia, Irama Narasi, dan sebagainya. 

Irama Selendang Delima adalah irama yang lebih dikenali kerana irama ini tersebar luas melalui radio khasnya melalui rancangan Bangsawan Di Udara terbitan Radio Malaya yang dipancarkan dari Singapura pada zaman-zaman sebelum merdeka. Namun begiru irama lain seperti syair rakis, kapal dan sebagainya perlu diperkenalkan. Ini menandakan bahawa dalam melagukan syair ia bukan tertumpu kepada satu irama semata-mata. Syair masih boleh divariasikan dengan pelbagai irama lagu bacaannya. Inilah keindahan yang terkandung dalam seni warisan syair. 

Amat wajar irama syair ini dikembangkan dan diwarisi oleh generasi muda sekarang. Bahan sastera telah pun dikaji oleh para pelajar di sekolah bermula dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Kemahiran melagukan syair ini perlu dikembangkan untuk menimbulkan minat dan keseronokan pelajar mengkaji karya sastera. Kita harus membawa alam sastera seadanya kepada alam pelajar agar mereka boleh menguasai seni warisan syair ini dengan sempurna.



5.4.15

Pengacaraan Majlis

Di dalam pengacaraan majlis strategi-strategi yang digunakan oleh seseorang pengacara merupakan bentuk-bentuk kalimat, diksi, puisi, bahasa-bahasa puitis, koherensi dan kohesi bahasa, berkesinambungan, kepelbagaian struktur dan sebagainya. Sekilas pandang strategi-strategi ini merupakan wacana dalam pengacaraan majlis.

TAKRIF

Pengendalian perjalanan majlis sama ada rasmi atau tidak mengikut susunan atau tidak.

TUJUAN

Mengurus perjalanan majlis tanpa sebarang gangguan dan kecacatan.

Jenis-jenis Majlis Rasmi

1. Majlis Penuh Istiadat
Istiadat pertabalan, penganugerahan darjah kebesaran, menyampaikan surat tauliah dan
mengangkat sumpah oleh menteri.

2. Majlis Rasmi dan Formal
Majlis jamuan makan malam yang diberi oleh Perdana Menteri untuk seseorang ketua negara
asing.

3. Majlis Rasmi tetapi Tidak Formal
Majlis yang tidak banyak mematuhi protokol seperti majlis jamuan teh sempena hari kebangsaan.

4. Majlis Tidak Rasmi tetapi Formal
Dianjurkan oleh pihak swasta yang memerlukan protokol seperti perasmian sesebuah bangunan
oleh Perdana Menteri atau Menteri.

5. Majlis Tidak Rasmi dan Tidak Formal
Seperti hari keluarga sesebuah agensi kerajaan atau swasta.



PROSEDUR

  1. Meneliti dan memeriksa program
  2. Mengetahui tujuan majlis
  3. Meneliti senarai kehadiran
  4. Mengetahui akan peruntukan masa akan diadakan


Pengacara Majlis (MC)

  •  Mengawal majlis

  •  Membuat pengumuman

  •  Memberi panduan kepada hadirin tentang majlis yang sedang dan akan berjalan

  •  Teks disediakan/disemak oleh penganjur



PENGACARAAN MAJLIS FORMAL

Terdiri daripada mereka yang berkebolehan dalam bidang ini dan tidak semua orang boleh menjadi juruacara yang baik. Tujuan utama juruacara ialah memaklumkan kepada tetamu apa yang akan berlaku mengikut urutan acara majlis.

Juruacara tidak boleh menjadi Pengerusi Majlis tetapi Pengerusi Majlis boleh menjadi juruacara. Teks juruacara hendaklah ditaip dengan menggunakan kertas separuh A4 dan satu muka surat hanya dimuatkan satu pengumuman sahaja. Setiap pengumuman pula mengandungi butir-butir berikut:-

1. MASA (anggaran)

2. CUE (panduan bagi juruacara)

3. ANN (teks pengumuman)

Gaya dan isi teks juruacara adalah tertakluk kepada tahap atau taraf majlis yang berkenaan. Setiap majlis mesti disediakan dua juruacara (seorang sebagai simpanan). Teks juruacara hendaklah disediakan oleh pihak penganjur.




PENYEDlAAN ATURCARA PENTADBIRAN

Aturcara pentadbiran adalah merupakan aturcara majlis yang ditulis secara terperinci dengan tujuan:-

• sebagai panduan untuk pegawai yang mengendalikan majlis tersebut

• sebagai panduan kepada semua pegawai dan pekerja yang terlibat dalam majlis tersebut

• untuk menentukan majlis berjalan dengan licin dan mengikut lunas-lunas protokol yang diterima

• untuk mengawal masa

• untuk menjadi panduan masa akan dating

• sebagai rekod


Aturcara pentadbiran yang baik mengandungi butir-butir berikut;

1. Masa

2. Tempat

3. Keterangan yang merupakan urutan acara secara terperinci (aktiviti)

4. Pegawai yang bertanggungjawab (tindakan)

Selain daripada aturcara pentadbiran, 'Check List' hendaklah juga disediakan bagi membantu melicinkan pengendalian majlis berkenaan.


RAPTAI

Raptai amatlah penting bagi sesuatu majlis walaupun majlis tersebut merupakan majlis ulangan (selalu diadakan) dan hendaklah diadakan beberapa kali mengikut keperluan. Tujuan raptai ialah:

i) Supaya mereka yang terlibat tahu akan tugas dan tanggungjawabnya.

ii) Untuk menentukan urutan majlis.

iii) Untuk menentukan jangka masa yang tepat.

iv) Untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

v) Untuk penyelarasan acara.

vi) Untuk membiasakan petugas-petugas dengan keadaan tempat.


FORMAT

  • Memulakan majlis dengan salam
  • Kata alu-aluan mengucapkan selamat dating dan menyatakan tujuan majlis
  • Mengendalikan atur cara yang ditetapkan
  • Menentukan kesinambungan atur cara
  
Contoh:


TEKS PENGACARAN
MASA
9.15 PAGI
KIU
Apabila ketibaan pengarah pendidikan masuk ke dewan, umumkan ketibaan tuan pengarah
PENGACARA
mengumumkan ketibaan Yang Berbahagia Pengarah Pendidikan Negeri

MASA
9.20 pagi
KIU
pengarah dan para tetamu mengambil tempat masing-masing selepas Pengarah diberikan buku program, pengacara memulakan majlis
PENGACARA
Assalamualaikum wtr dan selamat sejahtera

buah pinang dimakan puan
sirih junjung bersalut inai
selamat datang pengarah
ke majlis yang indah permai

yang berbahagia Tuan Hj. Abd Kadir B. Rahman Pengarah pendidikan Negeri Kelantan, yang berusaha Tn. Hj. Karim B. Jantan pengetua sekolah menengah sultan ismail, pengetua-pengetua……….. ( ikut protokol )


‘Teknologi Hijau Melestarikan Alam Sekitar”.

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan salam 1 Malaysia.
Yang saya hormati saudari pengerusi, kombinasi intelektual kehakiman yang penuh berintegriti, rakan – rakan seperjuangan yang cukup berkredibiliti seterusnya warga dewan yang dekat di hati.
“Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada generasi akan datang”. Begitulah kata Mahatma Gandhi, seorang pemimpin India yang tersohor. Kata-kata beliau sudah cukup membuktikan bahawa alam sekitar adalah harta yang paling berharga yang perlu dijaga kepentingannya. Berdirinya saya di pentas perdana ini dengan penuh iltizam, ingin menyebarkan sedikit dogma berpandukan tinta dan wacana para sarjana menerusi mauduk pidato saya, ‘Teknologi Hijau Melestarikan Alam Sekitar”.
Sebelum spekulasi menjadi sensasi, sebelum kata membelah bicara, sebelum isi menyusur hujah, izinkan saya mendefinisikan frasa yang membina tajuk pidato agar hadirin terbuka minda, agar hakim tidak terpinga-pinga, dan saya petah berkata-kata.

Teknologi Hijau membawa pengertian aplikasi teknologi moden untuk memulihara sumber dan alam sekitar semula jadi dan mengawal kesan negatif aktiviti manusia. Ia adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk. Melestari pula boleh didefinisikan sebagai keadaan yang tetap dan seperti sediakala. Ini membawa makna bahawa melestari alam sekitar bolehditakrifkan sebagai mengekalkan alam sekitar berada seperti di dalam aturannya.

Hadirin yang dirahmati,

Cetusan minda pertama ; Teknologi Hijau Meminimumkan Kesan Buruk kepada Alam Sekitar. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat jika dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minimum. Ia dapat meningkatkan dan melindungi ekosistem dan kepelbagaian hidup, meningkatkan kualiti udara dan air, mengurangkan pembuangan bahan tercemar dan melindungi sumber semula jadi. Teknologi hijau terbukti lebih cekap kerana ia boleh menjana tenaga dalam pelbagai keadaan dengan selamat dan mesra pengguna. Ini dapat dibuktikan melalui pengalaman dan amalan di negara maju yang telah membangunkan industri ini sejak sekian lama. Untuk itu, kerajaan Malaysia telah menambah pembiayaan mudah sebanyak RM2 bilion dalam Bajet 2013 bagi  menyokong industri tempatan menyertai teknologi hijau .

Sidang dewan berkarisma,
Cetusan minda kedua : Teknologi Hijau Menjana Ekonomi Negara. Hasrat ini dapat dicapai melalui penggunaan teknologi dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua kehidupan manusia dan biodiversiti umumnya. Teknologi hijau dapat membantu mengurangkan kos operasi, meningkatkan nilai aset dan keuntungan. Teknologi ini juga dapat meningkatkan produktiviti dan kepuasan pekerja. Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Prestasi kitar hidup ekonomi juga dapat dioptimumkan. Selain daripada itu, kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk 'hijau' yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. Contohnya, industri solar photovoltaic telah dikenal pasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk Malaysia. Demi mencapai hasrat ini, dalam Bajet 2010 kerajaan menstrukturkan semula Pusat Tenaga Malaysia menjadi Pusat Teknologi Hijau Negara. Pusat ini bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyediakan pelan tindakan pembangunan teknologi hijau dan berperanan sebagai agensi yang menetapkan piawaian dan mempromosi teknologi hijau.

Sidang saksi bermisi, saudara dan saudari,

Cetusan minda ketiga berdiri di atas mauduk : Teknologi Hijau Meningkatkan Kualiti Komuniti. Dari segi komuniti, teknologi hijau dapat meningkatkan kualiti udara, terma dan bunyi persekitaran. Contoh ini dapat dilihat melalui penggunaan kereta enjin hibrid. Hal ini dapat meningkatkan keselesaan dan kesihatan penghuni bandar, mengurangkan masalah infrastruktur tempatan dan meningkatkan kualiti hidup. Antara bangunan hijau di Malaysia ialah Pusat Tenaga Malaysia (PTM), iaitu bangunan hijau berkonsepkan bangunan tenaga rendah dan mesra alam, selain dilengkapi sistem building integrated photovoltaic (BIPV) yang mesra alam kerana tidak mencemar selain mengurangkan penggunaan tenaga daripada sumber bahan api fosil. Dengan amalan teknologi hijau, secara tidak langsung kualiti hidup komuniti dapat ditingkatkan. Untuk menjayakan strategi ini, kerajaan menubuhkan Majlis Teknologi Hijau yang bertujuan memastikan penyelarasan pada peringkat tertinggi bagi mengimplementasikan dasar yang cekap. 
Warga dewan sekalian,

            Tuntasnya, aplikasi Teknologi Hijau adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan yang mana pembangunan dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab memastikan generasi akan datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita peroleh sekarang. Perubahan gaya hidup dan perubahan minda  akan mengorak langkah ke arah penghayatan dan pengamalan teknologi hijau. Perubahan kecil yang kita buat pada hari ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.  Sekian dahulu pidato saya pada hari ini.

Sekian, Wabillahitaufiqwalhidayah….

Teks pidato ini saya hasilkan untuk disampaikan oleh peserta di Minggu Bahasa MRSM Zon Utara 2015.

Oleh :  Bung Muzaffar