5.4.15

‘Teknologi Hijau Melestarikan Alam Sekitar”.

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan salam 1 Malaysia.
Yang saya hormati saudari pengerusi, kombinasi intelektual kehakiman yang penuh berintegriti, rakan – rakan seperjuangan yang cukup berkredibiliti seterusnya warga dewan yang dekat di hati.
“Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada generasi akan datang”. Begitulah kata Mahatma Gandhi, seorang pemimpin India yang tersohor. Kata-kata beliau sudah cukup membuktikan bahawa alam sekitar adalah harta yang paling berharga yang perlu dijaga kepentingannya. Berdirinya saya di pentas perdana ini dengan penuh iltizam, ingin menyebarkan sedikit dogma berpandukan tinta dan wacana para sarjana menerusi mauduk pidato saya, ‘Teknologi Hijau Melestarikan Alam Sekitar”.
Sebelum spekulasi menjadi sensasi, sebelum kata membelah bicara, sebelum isi menyusur hujah, izinkan saya mendefinisikan frasa yang membina tajuk pidato agar hadirin terbuka minda, agar hakim tidak terpinga-pinga, dan saya petah berkata-kata.

Teknologi Hijau membawa pengertian aplikasi teknologi moden untuk memulihara sumber dan alam sekitar semula jadi dan mengawal kesan negatif aktiviti manusia. Ia adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk. Melestari pula boleh didefinisikan sebagai keadaan yang tetap dan seperti sediakala. Ini membawa makna bahawa melestari alam sekitar bolehditakrifkan sebagai mengekalkan alam sekitar berada seperti di dalam aturannya.

Hadirin yang dirahmati,

Cetusan minda pertama ; Teknologi Hijau Meminimumkan Kesan Buruk kepada Alam Sekitar. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat jika dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minimum. Ia dapat meningkatkan dan melindungi ekosistem dan kepelbagaian hidup, meningkatkan kualiti udara dan air, mengurangkan pembuangan bahan tercemar dan melindungi sumber semula jadi. Teknologi hijau terbukti lebih cekap kerana ia boleh menjana tenaga dalam pelbagai keadaan dengan selamat dan mesra pengguna. Ini dapat dibuktikan melalui pengalaman dan amalan di negara maju yang telah membangunkan industri ini sejak sekian lama. Untuk itu, kerajaan Malaysia telah menambah pembiayaan mudah sebanyak RM2 bilion dalam Bajet 2013 bagi  menyokong industri tempatan menyertai teknologi hijau .

Sidang dewan berkarisma,
Cetusan minda kedua : Teknologi Hijau Menjana Ekonomi Negara. Hasrat ini dapat dicapai melalui penggunaan teknologi dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua kehidupan manusia dan biodiversiti umumnya. Teknologi hijau dapat membantu mengurangkan kos operasi, meningkatkan nilai aset dan keuntungan. Teknologi ini juga dapat meningkatkan produktiviti dan kepuasan pekerja. Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Prestasi kitar hidup ekonomi juga dapat dioptimumkan. Selain daripada itu, kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk 'hijau' yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. Contohnya, industri solar photovoltaic telah dikenal pasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk Malaysia. Demi mencapai hasrat ini, dalam Bajet 2010 kerajaan menstrukturkan semula Pusat Tenaga Malaysia menjadi Pusat Teknologi Hijau Negara. Pusat ini bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyediakan pelan tindakan pembangunan teknologi hijau dan berperanan sebagai agensi yang menetapkan piawaian dan mempromosi teknologi hijau.

Sidang saksi bermisi, saudara dan saudari,

Cetusan minda ketiga berdiri di atas mauduk : Teknologi Hijau Meningkatkan Kualiti Komuniti. Dari segi komuniti, teknologi hijau dapat meningkatkan kualiti udara, terma dan bunyi persekitaran. Contoh ini dapat dilihat melalui penggunaan kereta enjin hibrid. Hal ini dapat meningkatkan keselesaan dan kesihatan penghuni bandar, mengurangkan masalah infrastruktur tempatan dan meningkatkan kualiti hidup. Antara bangunan hijau di Malaysia ialah Pusat Tenaga Malaysia (PTM), iaitu bangunan hijau berkonsepkan bangunan tenaga rendah dan mesra alam, selain dilengkapi sistem building integrated photovoltaic (BIPV) yang mesra alam kerana tidak mencemar selain mengurangkan penggunaan tenaga daripada sumber bahan api fosil. Dengan amalan teknologi hijau, secara tidak langsung kualiti hidup komuniti dapat ditingkatkan. Untuk menjayakan strategi ini, kerajaan menubuhkan Majlis Teknologi Hijau yang bertujuan memastikan penyelarasan pada peringkat tertinggi bagi mengimplementasikan dasar yang cekap. 
Warga dewan sekalian,

            Tuntasnya, aplikasi Teknologi Hijau adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan yang mana pembangunan dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab memastikan generasi akan datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita peroleh sekarang. Perubahan gaya hidup dan perubahan minda  akan mengorak langkah ke arah penghayatan dan pengamalan teknologi hijau. Perubahan kecil yang kita buat pada hari ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.  Sekian dahulu pidato saya pada hari ini.

Sekian, Wabillahitaufiqwalhidayah….

Teks pidato ini saya hasilkan untuk disampaikan oleh peserta di Minggu Bahasa MRSM Zon Utara 2015.

Oleh :  Bung Muzaffar




Tiada ulasan: